MUSA Aman turut serta berkayuh bersama peserta kayuhan.
MUSA Aman turut serta berkayuh bersama peserta kayuhan.
Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Demi menyahut dan menzahirkan semangat kecintaan terhadap negara, kira-kira 1,000 peserta berkayuh dalam Kayuhan Hari Kebangsaan 2015 peringkat negeri Sabah yang diadakan baru-baru ini.

Kayuhan anjuran Biro Tatanegara (BTN) Sabah dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) itu memerlukan peserta berkayuh sejauh 31 kilometer menelusuri beberapa laluan sehingga ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan berpatah balik ke Tanjung Aru sebelum kembali ke Padang Merdeka.

Lebih manis apabila program kayuhan itu turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Salleh Tun Said.

Hadir sama, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Hajiji Mohd Noor, Datuk Bandar Kota Kinabalu Datuk Abidin Madingkir dan Pengarah BTN Sabah Datuk Ibrahim Saad.

Pelepasan kayuhan yang bermula jam 6.40 pagi itu turut melalui beberapa laluan antaranya Jalan Padan, Jalan KK Bypass, Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan UMS (Dewan Canselori) dan kembali semula ke Jalan Tun Fuad Stephen, Jalan KK Bypass, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Coastal, Jalan KK Times Square, Jalan Tun Fuad Stephen, Bulatan Hyatt Regency Kinabalu dan Padang Merdeka.

Ibrahim berkata, penganjuran kayuhan santai itu adalah bagi menyerlahkan semangat cintakan negara yang aman dan damai.

Katanya, program yang kali kedua dianjurkan pihaknya itu turut berjaya menarik lebih 1,000 penyertaan selepas penganjuran kali pertama tahun lalu yang hanya disertai 600 peserta saja.

“Sambutan nyata memberangsangkan apabila kayuhan santai ini turut disertai pelbagai lapisan usia dari 12 sehingga 70 tahun ke atas.

“Sudah tentu penganjuran kayuhan seperti ini akan diadakan pada masa akan datang dalam memupuk semangat cintakan negara selain menyemai patriotisme dalam diri peserta,” katanya.

Terdahulu, Hajiji turut menerima Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebaik pengayuh menamatkan kayuhan.

Pada program itu peserta kayuhan turut diraikan dengan cabutan bertuah dan nyanyian lagu Negaraku dan Sabah Tanah Airku.

Dalam pada itu, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Yeo Boon Hai, menyifatkan program itu mendapat sambutan yang sangat baik.

Katanya, Kelab Berbasikal DBKK turut menghantar peserta yang ramai di samping kelab berbasikal yang berada berhampiran bandar raya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 September 2015 @ 5:01 AM