PESERTA kayuhan melalui jalan raya pada program itu.
PESERTA kayuhan melalui jalan raya pada program itu.
Erdiehazzuan Ab Wahid

Berkayuh sambil berkempen membawa mesej ‘Saya Anti Kutu Sampah’. Itu yang dilakukan lebih 300 pengayuh basikal sekitar bandar raya Kota Kinabalu yang berkayuh sempena program Jom Berbasikal Bebas Sampah, baru-baru ini.

Kayuhan sejauh 31 kilometer itu diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-16 bandar raya Kota Kinabalu selain merealisasikan visi Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menjadikan Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, hijau dan selesa untuk didiami melalui Kempen Anti Kutu Sampah.

Program itu disertai lebih 34 kelab berbasikal mewakili jabatan kerajaan, swasta dan persendirian sekitar bandar raya termasuk beberapa daerah berhampiran.

Peserta kayuhan dilepaskan Pengerusi Eksekutif 1Suria, Datuk Raya Erom yang juga isteri Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak pada jam 6.30 pagi di pekarangan ibu pejabat DBKK sebelum tiba di Pekan Telipok bagi mengadakan gotong-royong. Turut sama menyertai kayuhan Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Yeo Boon Hai.

Antara jalan yang dilalui adalah bermula dari Bangunan DBKK, Jalan KK Bypass, Jalan Tun Fuad Stephens, Jalan Pasir (Masjid Bandaraya), Jalan Tuaran, Pekan Telipok, Jalan Tuaran Bypass, Jalan Sepanggar dan Jalan UMS sebelum kembali menuju bangunan DBKK.

Sebaik tiba di Pekan Telipok, semua peserta disambut Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Jainab Ahmad Ayid kira-kira jam 7.30 pagi.

Yeo berkata, program yang diadakan adalah bagi mewujudkan kesedaran warga bandar raya Kota Kinabalu bahawa kebersihan persekitaran berupaya membantu sektor pelancongan dan perniagaan.

Katanya, kayuhan itu juga urut membawa mesej kepada pengguna jalan raya yang lain dan orang awam supaya senantiasa peka terhadap kebersihan dengan tidak membuang sampah di jalan raya atau merata-rata.

“Objektif kayuhan ini juga menggalakkan gaya hidup sihat berkeluarga dan melahirkan masyarakat yang bertanggungjawab.

“Selain itu, kayuhan ini mampu mewujudkan perpaduan serta menjalinkan perhubungan baik sesama lapisan masyarakat dan pemimpin masyarakat setempat,” katanya.

Sementara itu, Jainab berkata, program kayuhan dan gotong-royong yang diadakan dilihat sangat baik dalam memupuk kesedaran rakyat betapa pentingnya menjaga kebersihan dan menjaga kesihatan dengan berbasikal.

Katanya, peniaga-peniaga juga perlu menjaga kebersihan sama ada premis mahupun gerai-gerai bagi menghindari penyakit yang membahayakan kesihatan.

“Program pada hari ini memberi panduan kepada masyarakat supaya sentiasa menjaga kebersihan dan menjaga kesihatan dengan cara berbasikal dan bergotong-royong,”katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 12 Jun 2016 @ 5:01 AM