EDWARD melekatkan penyata anti rasuah pada cermin kereta sebelum kayuhan bermula.
EDWARD melekatkan penyata anti rasuah pada cermin kereta sebelum kayuhan bermula.
PESERTA berkayuh mengelilingi beberapa laluan sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
PESERTA berkayuh mengelilingi beberapa laluan sekitar bandar raya Kota Kinabalu.
GELAGAT peserta yang berehat selepas menamatkan kayuhan.
GELAGAT peserta yang berehat selepas menamatkan kayuhan.
BEBERAPA peserta mengambil peluang merakamkan gambar kenangan sebaik tamat kayuhan.
BEBERAPA peserta mengambil peluang merakamkan gambar kenangan sebaik tamat kayuhan.
EDWARD bergambar kenangan bersama peserta.
EDWARD bergambar kenangan bersama peserta.
Erdiehazzuan Ab Wahid

Rasuah ibarat barah dalam masyarakat. Justeru dalam usaha membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa, seramai 200 penggiat sukan berbasikal sekitar negeri di bawah bayu memerah kudrat untuk berkayuh sejauh 15 kilometer bagi menyebarkan mesej anti rasuah kepada masyarakat dalam Kayuhan Anti Rasuah di Kota Kinabalu, baru-baru ini.

Program anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah sempena Hari Anti Rasuah Antarabangsa Peringkat Negeri Sabah, berkonsepkan kayuhan santai dan terbuka kepada semua peringkat umur dan lapisan masyarakat. Menariknya kayuhan ini tidak sahaja disertai kakitangan awam, juga pekerja swasta dan belia sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap isu rasuah.

Dianjurkan dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), kayuhan dilepaskan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Ir Edward Yong Oui Fah selain dihadiri Pengarah SPRM Sabah, Datuk Shaharom Nizam Abd Manap dan Timbalan Ketua Pengarah (Khidmat Pengurusan) DBKK, Bahari Hassan.

Sejurus pelepasan kira-kira jam 7.30 pagi di pekarangan ibu pejabat DBKK, peserta mula bergerak ke sekitar Kota Kinabalu sebelum berpatah balik ke kawasan pelepasan untuk menamatkan kayuhan. Biarpun santai, menariknya ia tidak sahaja menyebarkan mesej anti rasuah, malah menjadi medan paling tepat mengeratkan hubungan SPRM dan masyarakat.

Shaharom Nizam ketika ditemui berkata, program yang julung kali diadakan berjaya menarik minat peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat sekali gus membuktikan rakyat Sabah menolak rasuah dan mahu gejala itu dapat dibanteras.

“Kita gembira dan berpuas hati dengan sambutan diterima kerana ia membukitkan orang ramai tahu kesan buruk rasuah. Paling penting golongan belia juga turut serta dan mereka mengetahui dan menolak budaya negatif itu,” katanya.

Shahrom berkata, penganjuran kayuhan itu dilihat sebagai kaedah terbaik memperkukuhkan hubungan SPRM dan masyarakat.

“Kita percaya dengan hubungan baik yang kita jalinkan mampu mewujudkan komunikasi yang lebih baik di antara SPRM dan masyarakat. Jadi, ini membolehkan sebarang aduan atau maklumat disampaikan dengan mudah,” katanya.

Edward pula meminta masyarakat setempat untuk terus berganding bahu bersama SPRM dalam membanteras gejala rasuah di negeri itu.

Katanya, membanteras gejala rasuah boleh dilakukan dalam pelbagai bentuk termasuk aktiviti riadah dan bersukan.

“Saya berpendapat penyebaran mesej anti rasuah melalui aktiviti bersukan seperti kayuhan basikal adalah langkah bijak dan tepat pada masanya. Aktiviti sebegini mampu mendidik masyarakat kita untuk hidup lebih sihat dan cergas tanpa rasuah,” katanya.

Bagi peserta kayuhan, Musnaliza Mustaq Khan, program yang dianjurkan bukan sekadar tanda sokongannya kepada SPRM dalam membanteras gejala rasuah malah mendidik keluarganya ke arah cara hidup sihat tanpa rasuah.

“Kayuhan ini sangat istimewa kerana ia serampang dua mata yang memberikan nilai positif kepada peserta baik pada aspek hubungan sosial dalam masyarakat, kesihatan badan dan cara hidup sihat.

“Sebagai penggemar berbasikal, saya bangga apabila dapat menyebarkan mesej anti rasuah ini dan berharap aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa depan sebagai wadah mendidik masyarakat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 January 2017 @ 5:04 AM