PESERTA ekspedisi bergambar beramai-ramai sebelum pulang.
PESERTA ekspedisi bergambar beramai-ramai sebelum pulang.
Oleh Muhammad Faiz Baharin


Pengalaman kali pertama mengikuti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang diadakan baru-baru ini, ternyata memberikan seribu satu pengalaman baru kepada penulis.

Sakit badan akibat terhentak dalam kenderaan ketika melalui jalan tidak berturap, berbukit, sempit dan berlopak, antara cabaran menyambut ketibaan 17 kenderaan 4x4 ke Taman Negara Endau-Rompin di Selai, Johor.

Mengambil kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini, seramai 50 peserta merangkumi pemilik kenderaan 4x4 daripada Kuala Lumpur dan Selangor bersama Kelab Radio Amatur Negeri Sembilan (NESRAC) menyertai ekspedisi terbabit.

Selai adalah taman negara kedua terbesar di Semenanjung dengan keluasan 48,905 hektar meliputi kawasan tadahan air Sungai Endau dan Sungai Rompin selain menjadi antara hutan hujan tropika tertua di dunia.

Nama Selai diperoleh legenda Orang Asli iaitu seorang puteri mempunyai kuasa haba sangat panas hingga menyebabkan aliran sebatang sungai di Gunung Besar menjadi kering dan mengecil sehingga selebar sebatang rotan.

Penulis difahamkan, program tiga hari itu adalah aktiviti rutin bagi penggiat 4x4 sebagai platform untuk merapatkan ukhuwah sesama mereka.

Penyelaras program, Osman Ahmad, 54, berkata, peserta boleh disifatkan sebagai pencinta alam sekitar dan pada masa sama meminati sukan lasak, lantas penganjur mengambil langkah menggabungkan kedua-dua elemen itu dalam ekspedisi kali ini.

“Perjalanan untuk tiba ke taman negara memakan masa hampir empat jam, dari tempat berkumpul di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Pedas-Linggi.

“Sebelum meneruskan perjalanan menelusuri trek laluan tidak berturap ke tapak perkhemahan kami dalam taman negara, peserta mesti mendaftarkan diri di Pejabat Perbadanan Taman Negara Johor di Bekok, barulah dibenarkan memasuki kawasan terbabit,” katanya.

Selain faktor keselamatan, tujuan pendaftaran diwajibkan untuk mereka yang ingin berkunjung ke situ kerana pihak perbadanan ingin mengawal jumlah kemasukan pelawat bagi menjaga kebersihannya.

Selesai urusan pendaftaran, peserta makin teruja meneroka keindahan flora dan fauna, namun untuk sampai ke tapak perkhemahan dirancang, kami terpaksa lebih dahulu mengharungi laluan berliku sejauh hampir 30 kilometer (km).

Pengalaman menaiki kenderaan 4x4 melalui trek disediakan untuk ke tapak perkhemahan tidak dilupakan, badan terasa sakit apabila seolah-olah dilambung.

Trek mencabar tidak sahaja menguji kemahiran pemandu mengawal kenderaan, juga memberi peluang kepada peserta melalui beberapa perkampungan Orang Asli seperti Kampung Selai, Kemidak dan Samok.

Setiba kami di lokasi perkhemahan dikenali sebagai Lubuk Merekek, segala kepenatan mengharungi perjalanan lebih 200 km hilang serta-merta apabila kami dihidangkan dengan udara segar dan persekitaran sangat mendamaikan.

Lebih menyeronokkan, tapak perkhemahan ini berhampiran aliran sungai, deruman airnya bagaikan terapi untuk peserta ekspedisi ingin menyisihkan diri daripada kesibukan dan hingar-bingar kota.

Ia juga dilengkapi pelbagai kelengkapan kemudahan pengunjung seperti surau, bilik mandi, dapur memasak dan kawasan lapang untuk mengadakan aktiviti berkumpulan.

Peserta, Sazali Harun, 49, berkata, banyak aktiviti menarik dilakukan peserta sepanjang berada dalam kawasan Taman Negara seperti memancing, memberi makan ikan keli, menjejaki hutan, mandi air terjun dan jalan malam.

Katanya, biarpun terpaksa melalui beberapa halangan seperti mendaki tebing curam, akar pokok berselirat dan laluan pendakian licin akibat hujan sepanjang mengikuti jelajah kawasan hutan simpan itu, ekspedisi sama sekali berbaloi dan memberi pengalaman menyeronokkan.

“Selain berpeluang mendekati dan menghayati keindahan alam sekitar, ia juga menguji kekuatan semangat, ketahanan fizikal dan kekuatan kaki terutama lutut, betis dan paha. Namun sebagai penggemar aktiviti lasak, semua itu tidak menjadi masalah.

“Malah ia pengalaman berharga apabila berpeluang meneroka keindahan alam sekitar dan melihat pelbagai jenis tumbuhan sukar ditemui di tempat lain seperti Pecah Periuk, Tapak Sulaiman, Ganda Rusa, Assam Batu dan Pakis Merek,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Oktober 2015 @ 5:01 AM