PENUNGGANG motosikal lasak menyeberangi sungai.
PENUNGGANG motosikal lasak menyeberangi sungai.
Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani


Hutan belantara sanggup diredah demi mencari kepuasan hati membuktikan 'kaki rempit' motosikal lasak 'endurance' sedia berdepan segala kemungkinan bakal ditempuhi.

Beriringan dengan kenderaan pacuan empat roda (4x4), penung­gang motosikal lasak sama ada yang baru atau veteran cekal menyahut cabaran menunggang jentera masing-masing hampir 200 kilometer (km) dari bandar Jerantut menuju ke kaki Gunung Ais.

Pelbagai rintangan ditempuh ketika menunggang di jalan balak merentasi sungai dan mendaki bukit, namun ia bukan halangan sebaliknya dijadikan cabaran lasak menjalani kehidupan di hutan selama tiga hari dua malam.

Perjalanan sejauh 50 km bermula dari bandar Jerantut menghala ke Felda Lepar Utara sebelum memasuki kawasan Kota Gelangi dan hanya berhenti di kawasan simpanan balak yang dikenali sebagai 'matau'.

Pengerusi program, Wan Hamizan Wan Wan Shamsuddin berkata, 'matau' dikawal oleh penduduk Orang Asli yang menetap di kawasan berhampiran dan hanya kenderaan pacuan empat roda sahaja yang boleh melalui laluan berkenaan dan tidak sesuai untuk kenderaan biasa.

Rombongan mengambil masa sehingga empat jam memandu kenderaan dan menunggang motosikal lasak dari matau sebelum sampai di kaki Gunung Ais.

"Cabaran bukan sedikit kerana peserta perlu sentiasa berwaspada kerana laluan licin akibat hujan, separuh jalan sahaja boleh digunakan, jambatan rosak (dibaiki beberapa hari sebelum ekspedisi) di Sungai Som dan kami berkhemah di Sungai Pertang sepanjang ekspedisi.

"Memang mengujakan kerana baru pertama kali ekspedisi diadakan dan kami mengambil kesempatan meneroka setiap inci kawasan sambil berdoa tiada kejadian tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui pada program berkenaan.

Wan Hamizan berkata, ekspedisi 45 peserta membabitkan 11 kenderaan pacuan empat roda, 11 motosikal lasak dan sebuah ATV (All-Terrain Vehicle) berkampung di kawasan Gunung Ais dan terputus dengan dunia luar.

Paling menarik, ekspedisi anjuran Kelab TA45 Motosport (TA45) turut disertai dua putera Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah iaitu Tengku Amir Nasser Ibrahim (selaku pemilik TA45) dan adindanya, Tengku Hassanal.

Wan Hamizan berkata, kedua-dua putera Tengku Abdullah ter­nyata sangat teruja dapat menjalani kehidupan seperti rakyat biasa tanpa protokol walaupun ada pe­ngiring dan bebas melakukan apa sahaja aktiviti.

"Ternyata kedua-duanya sangat gembira dan tiada sebarang sempadan, malah mereka turut melakukan aktiviti bersama kami seperti biasa dan tidak menampakkan mereka adalah putera raja.

"Baginda berdua juga tidak banyak kerenah, kami bersama menjala ikan, masak masakan kampung dan tidur dalam khemah biasa," katanya.

Menurut Wan Hamizan, peserta nyata teruja kerana hidup mereka bebas buat seketika..Tidak perlu memikirkan soal 'dunia luar'.

"Kami hanya mendengar dendangan unggas rimba, menghayati suasana suasana malam bertemankan cahaya di langit sambil merenung kebesaran Allah Taala," katanya.

Menurutnya, objektif utama ekspedisi itu diadakan adalah untuk menghebohkan kepada masyarakat bahawa masih ada lokasi sesuai untuk mereka yang gemar melakukan aktiviti sukan lasak.

"Tidak ramai yang tahu kewujudan Gunung Ais di Jerantut malah belum ada yang pernah menyertai sebarang ekspedisi ke sini dan rombongan TA45 bertuah kerana menjadi peserta perintis meneroka kawasan kaki gunung itu.

"Hutannya masih cantik, kekal dengan keindahan alam semula jadi, air sungainya mengalir jernih dan sesuai dijadikan tapak perkhemahan serta kem bina semangat. Bagaimanapun ia perlu melalui beberapa peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa," katanya.

Penunggang motosikal lasak berpengalaman, Paul Cheng Chen Poh, 50, berkata semua peserta mengakui amat teruja apabila dapat mengikuti ekspedisi berkenaan walaupun terpaksa menempuh perjalanan sukar.

Menurutnya, ekspedisi sejauh hampir 280 km bermula dari bandar Jerantut mengelilingi kaki Gunung Ais adalah cabaran menarik dan sukar dilupakan kerana berlangsung selepas hujan.

"Kami memasuki hutan ketika hujan menyebabkan jalan licin manakala ketika menunggang motosikal di kawasan gunung, laluan semakin mencabar dan ramai peserta jatuh ketika melalui lopak serta trek licin.

"Selaku penunggang motosikal lasak, kami bersedia menghadapi apa juga risiko. Jatuh motosikal dan cedera ringan bagi kami adalah perkara biasa...yang luas biasanya apabila kami tidak jatuh," ujarnya berseloroh.

Bagi Tengku Putra Shah Jehan Tengku Mohd Zaid, 30, berkata program itu memberi satu pengalaman yang sukar untuk dilupakan dan amat bernilai.

Katanya, kebiasaannya dia akan mengikuti aktiviti motosikal lasak di trek Kota Sas, Sungai lembing dan Monica Bay di Kemaman untuk menguji dan meningkatkan

kecekapan menunggang.

"Setiap litar untuk motosikal lasak berlainan dan penting untuk penunggang memahirkan diri di setiap trek yang ditempuhi dengan halangan berbeza.

"Secara tidak langsung, penunggang boleh menilai prestasi sendiri dan melakukan pelbagai bentuk persiapan untuk menyertai pertandingan atau aktiviti motosikal lasak yang disertai," katanya.

Beliau yang terbabit dengan sukan pemotoran sejak dua tahun lalu tidak menafikan ekspedisi ke Gunung Ais adalah satu cabaran sukan motosikal lasak yang berbeza.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 November 2014 @ 5:00 AM