Zaitie Satibi


DALAM kalangan pendaki tegar, mereka tidak pernah bosan menelusuri trek tinggi, malah perasaan rindu untuk mendaki akan timbul jika terlalu lama berehat. Ini kerana, mendaki memberi kepuasan selain ketenangan berikutan dapat menikmati pemandangan indah dan udara sejuk pada aras tinggi.

Demikian dirasai ahli kumpulan penggiat sukan lasak Outdoor Team Malaysia (OTiM) yang serba tidak kena apabila tidak dapat melakukan aktiviti kegemaran berikutan kebanyakan gunung ditutup akibat musim hujan.

Biarpun demikian, musim hujan juga memberi peluang kepada pendaki OTiM untuk mencuba sukan rekreasi lain dalam aktiviti merentas laluan ‘off road’ menerusi ekspedisi kenderaan pacuan empat roda (4x4) ke Lata Chelir di Raub, Pahang.

Mengambil kesempatan cuti hujung minggu baru-baru ini, seramai 26 peserta termasuk pemilik kenderaan 4x4 daripada Brotherhood Off Road 4x4 dari Lembah Klang, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang menyertai ekspedisi terbabit.

Penyelaras ekspedisi, Badrul Amri Ghazali, 33, berkata, aktiviti berkenaan bertambah menarik berikutan disertai pendaki yang baru pertama kali merasai pengalaman meneroka belantara menggunakan kenderaan lasak pada 14 hingga 16 Disember lalu.

“Ini kali pertama kami mengadakan program membabitkan 4x4 kerana lazimnya mendaki adalah aktiviti utama. Secara tidak langsung, peluang menyertai ekspedisi ini memberi pengalaman baru kepada mereka.

“Lata Chelir dipilih berikutan treknya dikatakan seimbang apabila tidak terlalu sukar dan tidak juga terlalu senang. Dalam spesifikasi ‘offroading’, ia diberi tiga daripada lima mata apabila hanya membabitkan halangan seperti sungai, bukit, lopak lumpur dan laluan berbatu.

“Biarpun demikian, ekspedisi ini memberikan pengalaman yang cukup mengujakan kepada peserta kerana berpeluang merasai trek laluan ‘off road’ yang serba mencabar,” katanya.

 MERAKAM kenangan di Kem Sangka.
MERAKAM kenangan di Kem Sangka.

Mengulas perjalanan aktiviti, Badrul Amri berkata, peserta berkumpul di Stesen LRT Gombak dan diberikan taklimat ringkas berkenaan peraturan, tugasan serta cabaran yang perlu dipatuhi sepanjang ekspedisi sebelum bertolak ke Raub kira-kira jam 11 malam.

“Menaiki tujuh kenderaan 4x4, kami membelah malam menuju ke lokasi dan tiba di titik permulaan di Perkampungan Orang Asli Pos Buntu kira-kira jam 2.30 pagi.

“Lokasi seterusnya adalah tapak perkhemahan Kem Sangka yang terletak kira-kira 12 kilometer (km) di dalam hutan dan kami bergerak setengah jam kemudian selepas mendapat kebenaran daripada penduduk Orang Asli serta membuat bayaran masuk kira-kira RM10 seorang.

“Kami meneruskan perjalanan biarpun sudah lewat dinihari kerana mahu memberi peluang kepada peserta merasai sendiri cabaran meredah hutan di laluan ‘off road’ pada sebelah malam. Mujur ketika itu tidak hujan bermakna kami boleh tiba pada waktu dijadualkan menjelang subuh.

“Laluan ‘off road’ pada sebelah malam juga antara cabaran awal pada hari pertama. Bagaimanapun, trek yang lembap akibat hujan sehari sebelumnya menjadikan ia sukar dan menambahkan debaran terutama kepada peserta yang pertama kali berdepan situasi ini,” katanya.

Keterujaan untuk menempuh laluan itu semakin terasa apabila peserta terumbang-ambing ‘diulik’ kenderaan ketika meredah permukaan tidak rata. Jarak yang mungkin pendek di jalan biasa tetapi masa yang diambil begitu panjang kerana perlu menempuh trek berbukit, berlubang dan berbatu.

“Bagi yang tidak pernah mengikuti ekspedisi 4x4, pengalaman ëterhuyung hayangí di dalam kenderaan mungkin agak mencemaskan. Ketakutan tidak dapat disembunyikan apabila ada peserta menjerit setiap kali merasakan kenderaan yang dinaiki hampir terbalik.

“Tetapi, situasi mencemaskan itu dapat diatasi dengan baik hasil kepakaran dan pengalaman pemandu mengawal stereng kenderaan di samping sudah biasa dengan trek di situ,” katanya.

Katanya, kesabaran mereka diuji apabila empat kenderaan didapati tidak berjaya mendaki trek setinggi 35 darjah ketika hampir tiba ke tapak perkhemahan akibat tayar masing-masing terbenam ke dalam lumpur tebal.

“Setiap kenderaan mengambil masa 15 hingga 20 minit untuk ditarik dan ia ternyata menguji ketahanan fizikal dan turut mencabar kekuatan mental serta semangat kerjasama berpasukan dalam kalangan peserta.

“Pengalaman mengeluarkan kenderaan yang tersangkut dalam lumpur dalam suasana kegelapan mencetuskan perasaan yang sukar dilupakan peserta. Mereka turut dapat mempelajari teknik menyelamat daripada pemandu 4x4 berpengalaman,” katanya.

Peserta tiba di kawasan perkhemahan kira-kira jam 6 pagi dan mula memasang khemah secara gotong-royong termasuk menyediakan tempat memasak. Bagaimanapun, menjelang siang hujan turun dengan lebat menyebabkan beberapa aktiviti dirancang tertangguh.

Malah, hasrat mereka untuk meneroka keindahan air terjun Lata Chelir dengan berjalan kaki terpaksa dibatalkan. Difahamkan, perjalanan ke air terjun berkenaan yang mengambil masa lebih dua jam pergi dan balik.

Biarpun demikian, peserta meneruskan aktiviti masing-masing di sekitar sungai berhampiran tapak perkhemahan manakala pemandu 4x4 pula mengambil peluang membaiki kenderaan mereka. Malam adalah waktu yang dinanti untuk acara BBQ yang disediakan tukang masak dibawa khas.

Hari berikutnya, selepas sarapan semua peserta mula mengemas peralatan perkhemahan untuk memulakan perjalanan keluar. Namun, perjalanan keluar mereka diuji dengan kejadian pokok tumbang sehingga menutup laluan.

“Peserta yang tidak pernah melaluinya sebelum ini masing-masing mengakui puas kerana dapat menyertai program ini dan berjaya menghadapi pelbagai kesukaran dan cabaran. Bagaimanapun, kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang tidak ‘tersentuh’ dek pembangunan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Disember 2018 @ 7:00 AM