Unggas hutan dengan pelbagai irama ibarat konsert alam semula jadi yang sangat mengasyikkan.
Dalam kesamaran malam, perkongsian pengalaman dan silih berganti cerita lucu antara satu sama lain mengeratkan hubungan rakan yang baru dikenali.
Angin yang bertiup lembut pula membawa bersama kedinginan malam yang menyegarkan. Unggun api yang dinyalakan bukan saja untuk menerangi kawasan tapi juga menghangatkan.
Itulah yang pastinya dirasai saat berkhemah atau bermalam di dalam hutan hujan tropika dengan seribu satu pengalaman menarik.
Kaya dengan kehijauan alam semula jadi, negara ini antara salah satu destinasi percutian alam semula jadi yang tidak kurang popularnya.
Kepelbagaian flora dan fauna yang disajikan mencetuskan pelbagai aktiviti mengujakan termasuk penjelajahan, penerokaan alam, rekreasi di sungai dan air terjun serta perkhemahan di dalam hutan belantara.
Bagi peminat aktiviti lasak dan ingin mendekatkan diri dengan alam semula jadi menerusi cara tersendiri, penerokaan dengan kenderaan pacuan empat roda hakikatnya tawar keunikan luar biasa.
Mana tidaknya, selain mencabar diri untuk keluar daripada kebiasaan dengan berdepan cabaran berbeza terutama merentas sungai dan lopak lumpur ketika siang serta aktiviti santai menjelang malam. Alunan muzik alam pula memberikan ketenangan dan keseronokan yang sukar digambarkan dengan kata-kata.
Kerana itu, Red Adventure menganjurkan Cabaran 4X4 Wanita Antarabangsa (SHEMUD) yang memasuki tahun kedua penganjurannya.
Selain bertujuan memberi peluang kepada pencinta alam semula jadi mendekati dan meneroka hutan hujan yang menghijau, acara ini juga diadakan bagi menggalakkan lebih ramai wanita terbabit dalam sukan berkenaan.
Selain itu, acara yang berjaya menarik penyertaan dari luar negara iaitu Indonesia, Thailand, Sri Lanka, Filipina, Itali, Republik Czech, Australia, Poland, Lithuania dan Amerika Syarikat ini juga antara salah satu cara untuk mempromosikan pelancongan di negara ini khususnya Negeri Sembilan iaitu lokasi untuk tahun kedua penganjurannya.
Acara yang diadakan selama tujuh hari itu nyata cukup mengujakan dengan halangan mencabar setiap peserta.
Memulakan cabaran dengan Prologue Stage yang diadakan di Jeram Toi, 15 pasukan berlumba dalam dua kategori iaitu SPEED Class bagi kenderaan standard dan SHEMUD Class untuk jentera 4 x 4 dengan spesifikasi penuh untuk perlumbaan ‘off-road’ ekstrem.
Kemahiran dan ketangkasan peserta diuji dalam mengendalikan jentera 4 X 4 termasuk merancang strategi serta kerjasama dalam pasukan bagi membolehkan mereka melepasi setiap halangan sukar.
Peserta juga perlu memandu di laluan berhalangan termasuk titi balak, jambatan sementara, bukit, lereng, trek berpasir dan berlumpur.
Dalam perlumbaan ini, setiap hari peserta berdepan dengan kesukaran dan cabaran yang cukup menguji kekuatan mental serta fizikal termasuk meredah banyak laluan berlumpur hingga ke paras pinggang.
Ketika siang, peserta nyata lebih kental dengan cabaran yang dihadapi lebih-lebih lagi terpaksa mengejar masa.
Namun selesai saingan siang, malam pula digunakan sebaik-baiknya untuk berehat dan menikmati keindahan alam semula jadi.
Bermalam di tapak perkhemahan seperti Taman Alam Liar di Kuala Klawang beberapa lagi tempat termasuk Lubuk Manggis di Hulu Langat, Selangor menjadi medan untuk peserta menghayati alam semula jadi selain berkongsi pelbagai pengalaman menarik.
Cabaran SHEMUD yang juga menjadi medium memperkenalkan kebudayaan dan keindahan negara kita di mata pelancong luar.
Oleh itu, dalam penyediaan makanan, peserta disajikan dengan menu tempatan termasuk rendang, ayam masak merah, ulam-ulaman, ikan masin dan sayur campur.
Di samping mengharungi pelbagai cabaran hutan belantara yang menghijau, kunjungan ke beberapa lokasi pelancongan menarik di Negeri Sembilan melengkapkan sesi penjelajahan di negeri itu.
Antara lokasi yang dilawati termasuk Historical Trail di Seremban dengan mengunjung beberapa lokasi bersejarah iaitu Istana Hinggap, Dewan Undangan Negeri Sembilan, White House (Perpustakaan Sir Henry Gurney) dan Galeri Diraja Tuanku Jaafar.
Lawatan ke Muzium Negeri dan produk pelancongan baru iaitu Masjid Al Hussain Seremban 2 melengkapkan pengembaraan di bandar.
Membawa peserta menyelami kehidupan masyarakat kampung, aktiviti permainan sukan tradisional di Homestay Laman Bangkinang tentunya menggamit kenangan indah.
Aktiviti seperti boling kelapa, perahu darat, tarik upih, gelek rim dan tiup gula dalam tepung memberikan pengalaman unik selain memperkenalkan sukan tradisi warisan Melayu kepada peserta terutama peserta antarabangsa.
Kaya dengan Adat Pepatih, kunjungan ke Istana Lama Seri Menanti dan bergambar berlatarkan istana dengan seni bina Minangkabau itu memberikan sudut pandangan yang cukup indah.
Kunjungan ke Muzium Tentera Darat, Baitulhilal Balai Cerap dan Tanjung Tuan sebelum kembali ke Kuala Lumpur juga melengkapkan percutian indah di Negeri Sembilan.