COUTINHO (kanan) dilayang kad merah pada babak kedua.
COUTINHO (kanan) dilayang kad merah pada babak kedua.
AFP

Liverpool: Kemenangan 3-0 West Ham ke atas Liverpool malam kelmarin bermakna ia adalah kekalahan pertama Reds dalam saingan Liga Perdana musim ini dan ia juga menandakan berakhirnya penantian 52 tahun kelab timur London itu untuk menang di Anfield.

Jaringan Manuel Lanzini dan Mark Noble membolehkan skuad kendalian Slaven Bilic itu menguasai perlawanan dan ia menghadirkan kemenangan pertama sejak September 1963. Jaringan lewat permainan Diafra Sakho melengkapkan kegemilangan buat West Ham.

Kad merah yang dilayangkan kepada pemain tengah Liverpool Philippe Coutinho pada awal babak kedua menyukarkan tuan rumah untuk menyaingi pergerakan pelawat dan kad merah yang diterima Noble ketika aksi berbaki 11 minit tidak cukup untuk membantu Liverpool meningkatkan aksi.

Dua gol awal West Ham yang dihasilkan sepanjang 30 minit pertama membuktikan kelemahan benteng pertahanan Liverpool dan ia memeningkan Brendan Rodgers.

Pertahanan tengah Martin Skrtel dan Dejan Lovren harus dipertanggungjawabkan atas dua gol itu.

Gara-gara Skrtel yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya, Dimitri Payet membuat hantaran kepada Aaron Cresswell sebelum melorongkan bola ke arah Lanzini yang mudah menjaringkan gol pertama pelawat.

Pada minit ke-29, cubaan Lovren untuk mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya gagal sebaliknya peluang itu digunakan Lanzini untuk membuat hantaran lintang yang singgah tepat kepada Noble untuk gol kedua pasukannya.

Liverpool cuba bangkit selepas gol kedua itu, tetapi gagal memecahkan benteng pertahanan Hammers.

Ketika tuan rumah melancarkan beberapa siri serangan untuk mencari gol, Sakho menggunakan peluang itu untuk menghasilkan gol ketiga pada minit akhir permainan, sekali gus membunuh semangat juang pemain Liverpool.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Ogos 2015 @ 7:51 AM