AFP

Stoke-on-Trent: Dejan Lovren mencabar Liverpool untuk membuktikan kekuatan mental mereka dalam usaha melupakan kekecewaan apabila dikalahkan 0-2 oleh West Ham United menjelang pertemuan pertama separuh akhir Piala Liga di Stoke City, awal pagi esok.

Harapan pengurus Juergen Klopp untuk menamatkan musim pertamanya di Liga Perdana dengan menduduki kelompok empat teratas berdepan masalah apabila Liverpool ditundukkan West Ham Sabtu lalu.

Pengendali Jerman itu berang dengan persembahan anak buahnya tetapi penampilan pertamanya di Anfield masih boleh menghasilkan piala apabila Liverpool hanya dua perlawanan lagi untuk ke Wembley menentang sama ada Manchester City atau Everton pada saingan Piala Liga.

Lovren sedar pengurusnya berhak untuk marah selepas perlawanan menentang West Ham dan pemain pertahanan Croatia itu berkata: “Kami sangat kecewa. Ia bukan persembahan terbaik kami dan kami juga marah dengan diri sendiri.

“Saya tidak tahu apa sebabnya tetapi kami perlu bangkit serta merta kerana kami tidak ada masa untuk memikirkannya. Kami akan menentang Stoke, Selasa (awal pagi Rabu).

“Kami perlu mengubah mental dan kami perlu bermain lebih baik dan lebih melawan. Kami melepaskan dua gol mudah. Saya boleh katakan sebegitu.

“Kami akan menentang Stoke dalam Piala Liga dan ia adalah peluang kami untuk melangkah ke final.

“Justeru, kami semua perlu bertenang dan menganggap esok adalah hari baru dan kami mahu bersedia untuk perlawanan menentang Stoke selain cuba untuk berada di final.”

Liverpool yang kali terakhir menjulang trofi ialah Piala Liga 2012, turut bakal mengharungi saingan Piala FA di Exeter City, Sabtu ini tetapi Klopp yakin jadual padat sepanjang bulan ini bukan masalah baginya.

“Selagi ia digelar perlawanan bola sepak, saya tidak pernah bimbang,” kata Klopp. “Saya adalah orang pertama yang gembira apabila berpeluang melangkah untuk mencapai sesuatu yang besar.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 8:41 AM