Reuters

London: Liverpool tergelincir dari landasan sebenar dan ketika ini sedang cuba mengembalikan semula identitinya, kata pengurus Brendan Rodgers dan beliau turut menafikan dirinya semakin tertekan gara-gara permulaan hambar yang dipamer anak buahnya itu.

Kelab Merseyside itu berdepan dua kekalahan berturut-turut di tangan West Ham United dan Manchester United sekali gus membuatkan pengendali Ireland Utara itu semakin kerap dikritik oleh peminat serta media.

“Anda boleh tewas tetapi apa yang penting ialah cara anda tewas. Dalam beberapa perlawanan sebelum ini, kami tidak bermain baik dan kekalahan dengan cara itulah yang tidak sepatutnya berlaku,” kata pengurus berusia 42 tahun itu menjelang aksi Liga Europa bertemu kelab Ligue 1, Bordeaux.

“Saya rasa, saya mempunyai identiti sebagai jurulatih dan tugas saya adalah jelas. Saya yakin kami akan bangkit mempersembahkan permainan yang lebih baik dan saya bersama semua kakitangan kejurulatihan sedang berusaha untuk mengembalikan semula pasukan yang pernah dibanggakan sebelum ini,” katanya.

Kritikan terhadap Rodgers semakin menjadi-jadi sejak dikalahkan 3-1 oleh Manchester United hujung minggu lalu. Pada perlawanan itu, Liverpool gagal menghalang penguasaan lawan dan Rodgers menganggap mereka perlu menjadikannya sebagai pengajaran.

“Apabila anda lihat kepada lima perlawanan setakat ini ... anda pasti sedar bahawa kami masih belum berada pada tahap sebenar.

“Ia jelas kelihatan ketika perlawanan hujung minggu lalu. Kami mencipta peluang menjaringkan gol di babak kedua tetapi pasukan ini biasanya terkenal sebagai skuad yang suka menyerang,” katanya.

Rodgers membuat rombakan besar-besaran untuk bertemu Bordeaux dan beliau mengetepikan Christian Benteke, Martin Skrtel, Dejan Lovren, James Milner, Lucas Leiva dan Nathaniel Clyne.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 September 2015 @ 8:35 AM