London: Pertahanan Liverpool Martin Skrtel (gambar) mendedahkan dia dijangka diketepikan selama enam minggu selepas mengalami kecederaan hamstring.

Skrtel terhincut-hincut pada babak pertama ketika Liverpool kalah 0-3 di tangan Watford Ahad lalu dan imbasan membuktikan pertahanan tengah Slovakia itu mengalami kecederaan hamstring yang akan menyebabkannya diketepikan hingga Februari ini.

Pemain berusia 31 tahun itu menulis dalam Instagram: “Selepas semua khabar angin, saya mahu menyatakan tempoh saya berehat bukannya tiga bulan... selepas mengalami koyak hamstring dan tendon saya tidak boleh bermain selama enam minggu... saya akan bekerja keras untuk pulih dan melakukan sedaya mungkin untuk kembali secepat mungkin dan lebih kuat berbanding biasa! Terima kasih atas sokongan anda.”

Ketiadaan Skrtel tamparan hebat buat pengurus Liverpool Juergen Klopp, yang tidak menang dalam empat perlawanan terakhir menjelang tempoh sibuk Krismas.

Perlawanan utama tanpa kelibat Skrtel termasuk pertembungan Liga Perdana menentang Manchester United dan separuh akhir Piala Liga berdepan Stoke City.

Jika Dejan Lovren tidak pulih daripada kecederaan lutut tepat pada masanya bagi pertemuan Liverpool menentang pendahulu Leicester City pada Hari Boxing, Kolo Toure dijangka diserapkan bagi permulaan liga pertamanya musim ini di samping Mamadou Sakho. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 8:31 AM