WOODS kumpul 13 di bawah 267 keseluruhan.
WOODS kumpul 13 di bawah 267 keseluruhan.

Greensboro, Amerika Syarikat: Tiger Woods masih gagal menamatkan kemarau kemenangannya sambil pemain berusia 51 tahun, Davis Love berjaya mengetepikan semua pemain menerusi kelebihan satu pukulan di Kejohanan Wyndham sekali gus muncul pemain ketiga tertua dalam sejarah yang pernah memenangi Jelajah PGA AS.

Tumpuan semuanya terarah kepada Woods di Kelab Golf dan Country Sedgefield di mana juara kejohanan utama sebanyak 14 kali itu dilihat hampir mampu menamatkan kemarau kemenangan di Jelajah PGA AS sejak 2013.

Bekas pemain nombor satu dunia itu amat memerlukan kemenangan bagi melayakkan dirinya ke play off Piala FedEx Jelajah PGA AS.

Begitupun, peluang Woods musnah apabila dia mencatat tujuh pukulan di lubang par empat ke-11 serta satu lagi bogey di lubang ke-12. Empat birdie yang dilakukannya sepanjang enam lubang terakhir tidak berupaya membantu.

Woods menamatkan saingan dengan 70 pukulan untuk mengumpul 13 di bawah 267 keseluruhan.

Ketika musim Woods di AS sudah tamat, Love pula melangkah ke play off selepas memenangi Jelajah PGA AS buat kali pertama sejak 2008.

Love menyifatkan kejayaan itu sebagai luar biasa dan dia melakar enam di bawah par di pusingan akhir selepas mencatat eagle di dua par lima di Sedgefield.

“Apabila anda sudah melepasi 50 tahun, apa saja kejayaan pasti menjadi lebih manis,” katanya.

Catatan keseluruhan 17 di bawah 263 itu membolehkannya menang dengan kelebihan satu pukulan berbanding Jason Gore yang mencatat satu di bawah 69.

“Saya sedang mencuba untuk mendapatkan semula permainan sebenar,” kata Love yang menjalani pembedahan kaki, Mac lalu dan tidak bermain selama dua bulan. “Saya tidak pasti sama ada tubuh saya mampu mengikut arahan minda.”
- AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:21 AM