RICKIE Fowler
RICKIE Fowler
AFP

Los Angeles: Rickie Fowler membenam birdie pada tiga lubang terakhir untuk mendahului satu pukulan ke atas pemain nombor dua dunia Jon Rahm dan dua pemain lain awal pagi semalam pada Terbuka Phoenix dalam Jelajah PGA AS.

Fowler, yang berkongsi sebagai pendahulu semalaman bersama Bryson DeChambeau menolak masuk birdie dari jarak sembilan kaki pada lubang ke-18 di TPC Scottsdale untuk muncul pendahulu dengan empat bawah par 67 bagi 14 bawah par 199.

Rahm, yang memburu ranking nombor satu dunia milik Dustin Johnson, mencatat enam bawah par 65 dan berkongsi catatan 200 bersama DeChambeau, yang berakhir dengan 68 dan Chez Reavie, yang merakam 67.

Juara lima kejohanan utama Phil Mickelson mencatat 66 untuk mendahului kelompok dengan catatan 201. Dia berkongsi kedudukan dengan pemain rookie terbaik tahunan Xander Schauffele (66) dan Daniel Berger (68).

Bagi Fowler, pemain nombor tujuh dunia, sejarah pencapaian baiknya di Phoenix termasuk naib juara pada 2010 dan tewas menerusi playoff kepada Hideki Matsuyama pada 2016, dia bermain tenang dan sabar untuk menamatkan aksi dengan hebat.

“Bertindak kurang baik di sesetengah tempat, saya mencuba melakukan beberapa perkara serentak,” kata Fowler. “Saya menggunakan kelebihan dalam beberapa lubang terakhir, tapi itulah peluang terbesar untuk melakukan catatan baik di lapangan ini.”

Bukan semua pemain mampu menggunakan kesempatan itu.

DeChambeau, yang memburu kejuaraan jelajah keduanya, mengumpul 14 bawah par selepas tiga birdie berturut-turut di lubang 13, 14 dan 15 namun bogey pada lubang ke-17 apabila pukulan teenya memasuki kolam.

Rahm, yang memburu kejuaraan kelima sejak tahun lalu dan keduanya dalam jelajah AS dalam tempoh tiga minggu, berada dua bawah par selepas sembilan lubang dan membalas bogey pada lubang ke-10 dengan birdie pada lubang ke-11, 13, 15 dan 16.

“Saya perlu melakukan lebih banyak birdie lagi,” kata Rahm mengenai apa yang perlu dilakukan jika mahu muncul juara.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2018 @ 9:54 AM