Ponte Vedra Beach, AS: Rickie Fowler (gambar) merangkul gelaran juara Kejuaraan Pemain selepas mengatasi bintang Sepanyol, Sergio Garcia serta Kevin Kisner pada penentuan play-off yang berlanjutan hingga empat lubang, semalam.

Ia kejayaan pertama dalam tempoh tiga tahun buat Fowler yang berjaya menyelamatkan diri pada tiga lubang play-off pertama sebelum mengatasi Kisner di lubang ke-17 yang dijadikan lubang kalah mati di TPC Sawgrass.

“Saya menunggu lama untuk kejayaan seperti ini,” kata Fowler. “Saya berani kata kemenangan ini sangat bermakna buat saya.

“Saya gembira dengan aksi minggu ini. Ini kejayaan akan saya kenang sampai bila-bila.”

Fowler yang dilabel pemerhati golf sebagai pemain paling kerap mengubah pukulannya dalam acara jelajah, mencatat lima bawah 67 pada pusingan akhir. Secara keseluruhan, Fowler mengumpul 12 bawah par 276.

Pada lubang ke-17, pukulan drive Kisner singgah kira-kira 12 kaki daripada lubang manakala bola Fowler pula mendarat lima kaki daripada lubang.

Kisner gagal membenam birdie dan Fowler tidak melepaskan peluang untuk mencatat birdie sekali gus membolehkannya menjulang gelaran Jelajah PGA kedua sepanjang kariernya.

Pemain nombor satu dunia, Rory McIlroy menamatkan saingan dengan 70 pukulan untuk berkongsi tangga kelapan manakala Tiger Woods pula mencatat keputusan paling buruk sepanjang empat pusingan apabila merakam tiga atas par 291. Dia berkongsi kedudukan tangga ke-69. -AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mei 2015 @ 7:59 AM