PEMAIN golf Amerika Syarikat, Brandt Snedeker kekal kelebihan tiga pukulan apabila pemainan pada pusingan ketiga golf Kejuaraan Wyndham. FOTO AFP
PEMAIN golf Amerika Syarikat, Brandt Snedeker kekal kelebihan tiga pukulan apabila pemainan pada pusingan ketiga golf Kejuaraan Wyndham. FOTO AFP
AFP 

WASHINGTON: Brandt Snedeker terus mengekalkan kelebihan tiga pukulan apabila pemainan pada pusingan ketiga golf Kejuaraan Wyndham terpaksa dihentikan ekoran keadaan cuaca yang buruk, hari ini.

Snedeker, yang muncul pemain kesembilan dalam sejarah Jelajah PGA membenam kurang 60 pukulan pada aksi pembukaan kelmarin, kekal mendahului saingan berdasarkan skor 67 pukulan di pusingan kedua.

Dia antara pemain yang melakukan tee-off terawal hari ini, meleretkan birdie 60 kaki pada lubang kedua di Sedgefield Country Club, sebelum menambah birdie selang tiga lubang kemudiannya.

Pemain Amerika Syarikat berusia 38 tahun itu mencatat sepusingan dua di bawah par, dan keseluruhan 16 di bawah par ketika permainan dihentikan pada lubang ketujuh.

Arahan untuk menghentikan permainan dibuat pegawai jelajah susulan petir dan hujan sekali gus bakal menyaksikan hari yang panjang menanti Snedeker, awal pagi esok.

“Kami sudah biasa dengan ujian ketahanan fizikal seperti ini,” kata Snedeker. “Apabila anda mula keletihan anda akan terdedah kepada melakukan kesilapan. Kunci utama untuk esok – saya perlu mengelak daripada melakukannya.”

Rakan senegara Snedeker, Brian Gay muncul pencabar terdekat dengan 13 di bawah par selepas 12 lubang berikutan empat birdie dan satu eagle pada lubang kelima.

Pemain Taiwan, CT Pan pada satu ketikanya berkongsi kedudukan sama hasil birdie di lubang keempat dan kelima, namun hayunan buruk pada lubang ketujuh menyaksikan dia ketinggalan satu pukulan di belakang bersama Trey Mullinax, Keith Mitchell dan DA Points.

Seramai 30 pemain gagal menamatkan aksi pusingan ketiga dengan mereka akan kembali menghabiskannya esok disusuli pusingan keempat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Ogos 2018 @ 8:43 AM