Pacific Palisades, AS: Bubba Watson (gambar) menjuarai Terbuka Northern Trust buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun semalam, mengatasi kelompok pendahulu untuk menang dengan hanya satu pukulan.

Juara Masters dua kali itu kini menuju ke kejuaraan utama pertama musim ini di Augusta National dalam tempoh tujuh minggu, memburu jaket hijau ketiganya.

Pemain Amerika Syarikat berusia 37 tahun yang turut muncul juara di Pacific Palisades pada 2014, mencatat dua birdie pada tiga lubang terakhir sebelum merakam tiga bawah par 68 untuk mengumpul 15 bawah par 269 keseluruhan.

“Apa yang saya cari hari ini adalah mencatat par dan kemudiannya meraih birdie,” kata Watson, yang kini mengumpul sembilan kemenangan dalam Jelajah PGA AS.

“Saya mahu merangkul 10 kemenangan kerana ia satu batu loncatan dalam Jelajah PGA.”

Rakan Watson, Jason Kokrak hampir menjulang gelaran PGA pertamanya, menamatkan saingan dengan 68 pukulan untuk mengumpul 14 bawah par sekali gus berkongsi tangga kedua dengan Adam Scott.

Scott, pemain Australia mencatat birdie pada lubang ke-17 dan 18 untuk pulang dengan 67 pukulan. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 10:05 AM