SIFAT golongan muda yang cenderung  untuk melabur dengan memperoleh keuntungan besar dalam masa singkat menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah scammer.
SIFAT golongan muda yang cenderung untuk melabur dengan memperoleh keuntungan besar dalam masa singkat menyebabkan mereka menjadi sasaran mudah scammer.
Muhammad Saufi Hassan


Kuala Lumpur: Golongan muda sering dianggap lebih 'celik teknologi' sekali gus sukar dijerat scammer atau pelbagai janji manis sindiket penipuan atas talian.

Namun hakikatnya berbeza apabila golongan muda mendominasi 'carta mangsa scammer' tertinggi berbanding mangsa dalam kalangan warga emas.

Golongan terbabit yang berusia antara 21 hingga 40 tahun merekodkan jumlah tertinggi mangsa penipuan membabitkan seramai 19,624 orang.

Angka itu jauh lebih tinggi berbanding kategori umur warga emas berusia 56 hingga lebih 61 tahun yang merekodkan angka 6,721 kes penipuan.

Statistik daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan jelas menunjukkan golongan muda menjadi 'lubuk emas' kepada rangkaian sindiket penipuan berkenaan walaupun golongan itu sinonim dengan penggunaan teknologi.

Berdasarkan statistik rasmi PDRM, jenayah E-Dagang merekodkan jumlah tertinggi bagi kategori umur berkenaan dengan merekodkan 7,445 kes keseluruhannya.

Pada masa sama, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA) Siraj Jalil melihat bahawa golongan umur berkenaan paling banyak terdedah dengan teknologi sekali gus menjadi sasaran mudah sindiket penipuan.

"Kategori umur 21 hingga 40 tahun berkenaan adalah lapisan umur 'aktif media sosial' dan internet sekali gus menjadi sasaran paling kritikal untuk sindiket penipuan.

"Golongan ini juga banyak melakukan transaksi secara atas talian berbanding warga emas. Mereka mempunyai sumber kewangan bulanan dan faktor itu menarik perhatian sindiket penipuan untuk 'memancing' golongan umur berkenaan.

"Jika kita bercakap soal penipuan atas talian, ia sangat berkait rapat dengan ketersambungan serta penggunaan peranti. Jadi golongan muda pastinya paling ramai memiliki peranti pintar dan aktif menggunakannya," katanya.

Siraj berkata, jika seseorang individu tidak aktif dalam internet, tidak aktif penggunaan peranti pintar dan media sosial, ia akan mengurangkan risiko mereka untuk terjebak dengan sebarang bentuk penipuan atas talian ini.

Beliau berkata, biarpun golongan umur terbabit sering dikaitkan dengan 'segmen umur celik teknologi' tetapi ia tidak menjadikan mereka celik dengan sebarang ancaman siber.

"Ia perkara yang berbeza. Mengetahui teknologi dan peka dengan serangan siber atau penipuan adalah dua perkara berbeza. Mungkin seseorang itu celik teknologi tetapi tidak terlalu peka dengan bentuk penipuan yang ada dalam ruang siber ini.

"Pengguna perlu tahu dan tidak mudah terjerat dengan janji manis, penyamaran sebagai pegawai agensi penguatkuasaan dan penawaran keuntungan tidak masuk akal kerana ini semua skrip biasa untuk sindiket penipuan," katanya.

Menurutnya, sindiket penipuan boleh berlagak seperti mana-mana pegawai agensi penguatkuasaan dan mula memainkan emosi mangsa sebelum individu berkenaan terperangkap dengan 'ancaman' serta ketakutan.

Katanya, berdasarkan trend penipuan dalam talian ini, skripnya hampir sama iaitu pemanggil akan memperkenalkan diri sebagai pegawai agensi penguatkuasaan.

"Mereka akan mula memerangkap mangsa apabila melakukan 'perbualan berbentuk ancaman' (verbal threat) kononnya mangsa mempunyai rekod transaksi perjudian dan sebagainya.

"Apabila mangsa yang berada dalam ketakutan dan kurang rasional untuk berfikir, scammer berkenaan akan mula memerangkap dengan memberikan 'jalan penyelesaian' seperti memindahkan wang ke akaun lain.

"Ini antara skrip paling biasa digunakan oleh rangkaian sindiket penipuan dan ramai mangsa terjerat dengan manipulasi emosi oleh sindiket ini," katanya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya pendedahan berkaitan keselamatan siber diterapkan di peringkat sekolah yang menjadi hab pendidikan di negara ini.


Sering gopoh buat keputusan

Senang percaya tawaran lumayan


Gelojoh nak dapat wang mudah

Gelojoh tamak serta mahu mendapat wang mudah antara punca sejumlah RM1.2 bilion kerugian direkodkan sepanjang tahun lalu.

Ini dibuktikan apabila polis merekodkan kira-kira RM176.01 juta kerugian membabitkan bermacam jenayah penipuan atas talian sepanjang Januari lalu.

Berdasarkan statistik tahun lalu, kategori usia 21 hingga 30 tahun merekodkan kes paling tinggi terjebak dengan perangkap scammer iaitu 10,360 kes yang dilaporkan.

Bagi warga emas pula, rekod menunjukkan golongan ini turut terjebak dengan sindiket penipuan dalam talian membabitkan lebih 2,000 kes penipuan.

Skim pelaburan tidak wujud menjadi 'resepi' paling ampuh rangkaian sindiket penipuan ini apabila merekodkan jumlah kerugian paling tinggi tahun lalu serta Januari lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, bagi tahun lalu, kes membabitkan pelaburan tidak wujud merekodkan jumlah paling tinggi iaitu lebih RM472 juta membabitkan 5,386 kes dilaporkan.

"Jenayah telekomunikasi merekodkan jenayah kedua tertinggi iaitu lebih RM353 juta dengan 10,348 kes dilaporkan kepada pihak polis.

"Selain itu, jenayah e-Dagang mencatatkan kerugian lebih RM204 juta diikuti jenayah e-Kewangan (RM105 juta), Love Scam (RM43 juta) dan pinjaman tidak wujud (RM40 juta).

"Bagi bulan Januari ini saja, rekod jumlah kerugian adalah lebih RM176.01 juta membabitkan 3,390 kes keseluruhan," katanya kepada Metro Ahad, semalam.

Ramli berkata, antara faktor menjadi punca adalah sifat tamak seperti keterujaan untuk melabur dengan memperoleh keuntungan besar dalam masa singkat.

Beliau berkata, 'janji' kononnya wang keuntungan pelaburan boleh diperoleh dalam tempoh beberapa jam mendorong mangsa terjebak dalam pelbagai skim tidak wujud.

"Contoh lain yang bersifat terkini adalah melabur dalam pelaburan matawang digital yang kurang difahami mereka. Pelabur muda ini tiada ilmu namun berani untuk melabur dalam jumlah besar," katanya.

"Kalau kita lihat berdasarkan statistik semasa, Selangor merekodkan kes penipuan dalam talian tertinggi berbanding negeri lain dengan 6,223 kes sepanjang tahun lalu dan 571 kes untuk Januari," katanya.

Ketika ditanya berhubung tindakan paling ideal oleh masyarakat bagi mendepani isu penipuan atas talian, Ramli berkata, sebarang panggilan tidak dikenali tidak perlu dilayan.

"Jangan layan sebarang panggilan telefon daripada nombor tidak dikenali dalam apa keadaan sekalipun.

"Begitu juga dengan segala iklan yang timbul atau pop up di laman sosial dan sebagainya, jangan respons langsung kerana scammer ini ada formula untuk memujuk mangsa masuk ke skim penipuan terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 April 2024 @ 12:01 PM