MENARIK  hidangan Lamb Chop.
MENARIK hidangan Lamb Chop.
BESAR saiz hidangan Nasi Goreng Bangkok.
BESAR saiz hidangan Nasi Goreng Bangkok.
LAIN daripada lain, menu Chicken Profencial menikmati hidangan keju serta cendawan.
LAIN daripada lain, menu Chicken Profencial menikmati hidangan keju serta cendawan.
FIMIE bersama Chef Rodzi dan Chef Amri.
FIMIE bersama Chef Rodzi dan Chef Amri.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Rindu pada hidangan ‘authentic’ Thailand seperti Nasi Goreng Pakapow dan Nasi Goreng Bangkok terubat dengan kunjungan ke restoran The Eight Wok & Grill.

Biarpun ketika menuju ke lokasi berkenaan terperangkap lebih sejam untuk perjalanan 15 minit kerana sesi ulasan dirancang ketika waktu puncak, rasanya berbaloi apabila hidangan menanti menepati citarasa mahupun selera.

Restoran terbabit menyediakan hidangan negara gajah putih juga mempunyai seleksi makanan Barat membuatkan ia sesuai dikunjungi pelbagai golongan. Cukup mengujakan santapan visual ketika makanan tiba di meja luar biasa berbanding dengan beberapa restoran konsep sama pernah dikunjungi.

Hidangan Chicken Chop disediakan Chef Mohd Rodzi Rosli menampilkan saiz potongan daging ayam sungguh besar dipanggang rangup kulit luar tetapi isinya masih berjus di dalam.

Sos bayam bersama lada hitam dihidangkan dalam hiasan seperti ekor merak berserta sayur rebus dan kentang wedges pasti memenuhi selera besar peminat hidangan Barat.

Menurut pengurus restoran, Zubaidah Hashim yang juga ibu kepada pelakon Fimie Don, setiap hidangan perlu mencapai kualiti baik dari segi rasa mahupun penyampaian untuk memuaskan hati pelanggan.

“Saya sendiri suka memasak dan keluarga pula menyukai makanan enak, tentu saja memahami kehendak pelanggan kami. Jadi saya sendiri memastikan hidangan keluar dari dapur bukan saja sedap dari segi rasa tetapi turut menawarkan saiz hidangan berbaloi dengan perbelanjaan mereka.

“Malah menariknya, jurumasak makanan Barat seperti Chef Rodzi menggunakan bahan terbaik untuk setiap hidangan, malah dia kreatif dalam mengubah suai resipi sesuai dengan tekak dan lidah tempatan.

“Hidangan Thailand pula bawah kendalian Chef Amri Samah berasal dari Pattani, turut menggunakan rencah daripada negara asalnya. Ramai mengatakan masakan Thai di restoran ini sama rasanya dengan hidangan dihidangkan di negara terbabit.

“Sebagai contoh Nasi Goreng Pakapow, daging digoreng dengan kicap dan cili serta kacang panjang sebagai sayur turut mempunyai sentuhan daun selasih yang sukar didapati di pasar tempatan. Namun Chef Amri mengambil inisiatif mencari daun herba berkenaan dan dihidangkan dalam menunya,” katanya.

Semua sajian dipersetujui keluarga

Fimie Don menempa nama dalam arena hiburan sejak usianya lima tahun lagi. Malah kehadiran pelakon utama siri Hikayat Putera Shazlan yang ke udara selama sembilan musim di Astro Ceria itu, membuatkan dia antara pelakon kanak-kanak paling popular ketika itu.

Dia juga pernah menjadi pengacara bersama program ‘Nasi Lemak Kopi O’ selama dua tahun setengah membuatkan dia tidak kekok mengutarakan pendapatnya dalam sebarang isu.

Diminta mengulas mengenai sajian makanan di The Eight Wok & Grill, Fimie berkata, dia tidak cerewet dengan sebarang hidangan asalkan enak.

Ketika kunjungan ke restoran milik keluarganya di Kota Damansara, Fimie menyarankan supaya mencuba hidangan ‘signature’ seperti ‘Nasi Goreng Pakapow’ selain Tom Yam Campur bagi hidangan citarasa Thai manakala menu Barat ialah ‘Chicken Chop’.

“Saya sendiri sukar nak katakan yang mana satu antara menu kegemaran saya. Maklumlah semua pilihan atau kami sajikan adalah menu kami rasa enak dan orang tempatan boleh terima.

“Selain itu Chicken Chop serta Chicken Profencial disediakan Chef Rodzi untuk hidangan antara kegemaran pengunjung tetap kami,” katanya.

Tambah Fimie, restoran menyediakan kedua-dua jenis masakan berkenaan kerana mahukan variasi pada pilihan menu pelanggan.

“Sasaran kami pelbagai, datang bersama rakan mahupun keluarga kerana di sini berhampiran dengan kediaman.

“Ruang dalam kedai lebih santai dan tidak terlalu nampak bercirikan ‘interior’ kerana mahukan kesederhanaan sesuai untuk golongan biasa juga boleh datang makan di sini,” katanya.

Perkembangan terkini, komitmennya tertumpu sebagai calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini. Namun dia sempat berkongsi beberapa projek mini diusahakan sendiri.

“Saya kini sibuk dengan projek single ‘Kata Kamu’ berupa hip hop muzikal menampilkan saya sebagai ‘rapper’ dalam keseluruhan lagu.

“Lagu dan lirik dihasilkan saya sendiri diterbitkan oleh Rafiq Concept. Malah lagu itu ada juga versi akustik. Mesej lagu menjurus pada gaya hidup anak muda sekarang yang saya jangka dapat menarik minat golongan sebaya untuk menikmatinya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 23 Ogos 2015 @ 5:01 AM