MENIKMATI pelbagai masakan barat dalam satu hidangan.
MENIKMATI pelbagai masakan barat dalam satu hidangan.
Teks dan gambar Rodly Fadly


Menimati aneka masakan Barat yang dihidangkan di dalam talam membuatkan penulis teruja. Ia antara kelainan yang ditonjolkan D’Madinah Corner di Taman Cengal Indah, Kulim, Kedah, sebagai daya tarikan kepada pengunjung.

Namun, lebih daripada itu sudah tentulah hidangan berkenaan menepati selera kerana menikmati pelbagai jenis masakan Barat dalam satu hidangan memberi kepuasan tersendiri.

Bukan sahaja enak, penulis berani memberi jaminan kebanyakan pengunjung yang datang bersama keluarga atau rakan pasti puas menikmati hidangan kerana kuantitinya agak besar.

Ia berbaloi kerana de­ngan set keluarga yang hanya berharga RM55 setalam, anda boleh berkongsi seramai empat atau lima orang untuk menikmati pelbagai hidangan barat seperti chicken chop, lamb chop, daging burger, roti bakar telur cair, sosej, kentang goreng, sup cendawan, coleslaw, jejari ayam, garlic bread dan satu jug teh O ais atau sirap.

Walaupun juadah yang dihidangkan menu masakan Barat yang biasa kita makan, keistimewaan hidangan talam D’ Madinah ialah siraman sos lada hitamnya yang ‘melaut’ ke atas chicken chop dan lamb chop sehingga sebati dengan isinya.

Begitu juga dengan set roti bakar telur cair atau dalam menu disebut roti bakar ‘telur berdeney’ kerana lelehan telur itu menyebabkan ia menyerap di dalam roti. Keenakannya ditambah pula dengan siraman sos cili dan maiyonis kombinasi yang sangat serasi.

Sementara itu, garlic bread yang digandingkan dengan sup cendawan soup juga hidangan menyelerakan kerana ia boleh dihirup begitu sahaja tanpa perlu dipadankan dengan roti halia.

Jejari ayam dan kentang goreng garing juga enak dikunyah sambil menghirup teh O ais. Sosej, daging burger dan coleslaw melengkapkan hidangan. Pendek kata dengan nilai RM55, anda dapat menikmati segala-galanya dalam satu hidangan.

Pemilik restoran Mohd Zahaber Ahmad berkata, dia memperkenalkan konsep makan berkongsi setalam itu bagi mengembalikan amalan berukhuwah dalam kalangan masyarakat Melayu yang kini makin dilupakan.

“Makan berkongsi di dalam talam amalan Rasulullah SAW. Malah, ia juga menjadi amalan masyarakat Melayu terutama pada majlis keraian seperti perkahwinan.

“Ia sebenarnya amalan bagi mengukuhkan ukhu­wah dalam kalangan saudara-mara dan sahabat handai. Inilah yang cuba saya hidupkan kembali melalui makan berkongsi setalam. Bezanya saya aplikasikan kepada hidangan barat kerana ia makanan kegemaran generasi sekarang.

“Selain itu, saya juga memastikan semua pelanggan dapat menikmati setiap menu disediakan di dalam talam. Sebab itu, untuk set keluarga contohnya, bagi setiap jenis makanan kami sediakan kuantiti yang boleh dinikmati sekurang-kurangnya empat atau lima orang.

“Pendek kata, setiap orang yang berkongsi talam dapat merasa semua jenis makanan dihidangkan.

“Sudah tentu yang lebih penting kualiti dan rasa makanan yang tidak boleh dikompromi. Walaupun cara penyediaan masakan Barat sama di mana-mana sahaja, yang menentukan sedap atau tidak sesuatu hidangan itu terletak pada sosnya.

“Sebab itu, untuk sos lada hitam kami tidak menggunakan sos sedia ada di pasaran, sebaliknya menyediakan sos sendiri supaya ia benar-benar menepati cita rasa pelanggan. Ia bukanlah resipi rahsia kami, tapi dihasilkan selepas membuat beberapa siri cuba dan rasa,” kata Mohd Zahaber yang memulakan perniagaan itu sejak enam bulan lalu.

Selain set keluarga, D’ Madinah Corner juga menyediakan beberapa set lain seperti set Kasih Sayang berharga RM35 yang boleh dinikmati tiga hingga empat orang serta set Bulan Madu (RM29) untuk dua orang.

Di samping itu, terdapat juga set Combo yang berharga daripada RM6 hingga RM10.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Mac 2016 @ 6:23 AM