NASI Udang Mentega.
NASI Udang Mentega.
SHAJIRY menggemari Nasi Udang Mentega olahan Anita.
SHAJIRY menggemari Nasi Udang Mentega olahan Anita.
Oleh Zaitie Satibi


Bagai kisah Raja Midas dalam dongeng Yunani yang setiap sentuhannya bertukar emas, begitu juga dengan makanan di Chacup Cafe apabila semua masakan hasil air tangan Anita Yusof menepati cita rasa.

Chacup Cafe diusahakan Anita bersama suami juga pelakon dan penyanyi, Shajiry, baru dibuka kira-kira enam bulan lalu dengan konsep mesra keluarga di Denai Alam, Shah Alam, Selangor. Kafe ini menghidangkan pelbagai menu masakan tempatan dan Barat.

Menurut Anita, kegemarannya mengunjungi restoran tertentu yang menghidangkan makanan istimewa sebelum pulang ke rumah dan cuba memasak sendiri makanan berkenaan mencetuskan ilham untuk membuka kafe sendiri.

“Saya akan mencuba resipi masakan sedia ada dan mengubah suai ramuannya. Biasanya, suami menjadi penguji rasa masakan berkenaan dan bila ia selalu dilakukan, lama-lama kami terfikir untuk membuka kafe.

“Kafe ini menawarkan pelbagai hidangan tempatan dan Barat yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana setiap makanan berkenaan memang sebati dalam kehidupan harian kita tetapi dengan resipi yang diubah suai,” katanya.

Antara menu dihidangkan dengan harga berpatutan ialah Nasi Goreng Chacup, Nasi Udang Mentega, Nasi Goreng Udang Kam Heong, Mi Rebus Perak, Mi Kolok Sarawak, Laksa Johor, Yee Mee Claypot, wantan Kicap, Mi Kari, Spageti, Chicken Chop dan Lamb Chop.

Bagi hidangan minum petang pula cendawan goreng, karipap, keropok lekor, cucur udang, popia, kentang goreng, sosej koktel dan kek. Chacup Cafe turut menyediakan pelbagai pilihan kopi yang dibru, latte, cappucino, mocca, ekspresso untuk penggemar minuman berkenaan.

Makanan yang disediakan bukan saja lazat, malah ia turut dihidangkan dengan hiasan yang kreatif daripada garnis untuk membangkitkan selera. Kreativiti dalam penyediaan hidangan juga terserlah apabila makanan ditata rapi di atas pinggan besar seperti menjamu selera di premis eksklusif.

“Saya juga sentiasa bertukar-tukar ilham dengan kakitangan lain yang berpengalaman dan pernah bekerja di hotel ternama dalam penyediaan hidangan termasuk memilih menu yang sesuai dengan cita rasa pelanggan.

“Boleh dikatakan kami kerap menukar menu makanan kerana kami mahukan yang terbaik untuk pelanggan. Ini dilakukan selepas meninjau sendiri pendapat pelanggan mengenai sesuatu hidangan dan sambutan mereka,” katanya.

Persekitaran kafe yang bersih dengan dekorasi moden dan ringkas memberi ketenangan kepada pelanggan menjamu selera. Warna merah diangkat menjadi tema penyeri segenap ruangan dan menariknya dua motosikal berkuasa tinggi serta klasik diletak di luar kedai.

Kuah udang mentega lazat berkrim

Walaupun sibuk dengan aktiviti seni berlakon dan menyanyi, Shajiry tidak mengabaikan tanggungjawab menyelia operasi kafe yang baru diusahakannya. Shajiry kini menjalani penggambaran drama berjudul Anakku Diva sebanyak 13 episod terbitan JS Picture.

Pada masa sama, beliau juga merancang untuk melancarkan single kedua trio kumpulan Qa’rabah yang turut dianggotai Jeff (A to Z) dan pendatang baru, Izzuwin Shah.

Qa’rabah ditubuhkan pada 2014 dan bernaung bawah label Imaan Music. Mereka membawakan mesej positif dan motivasi menerusi lagu berkonsepkan ketuhanan dan single pertama berjudul ‘Taubat’ berkolaborasi bersama RJ.

“Kafe ini lahir atas minat isteri yang mendalam terhadap masakan. Saya kagum dengan kemahirannya dalam bidang ini kerana dia boleh menyediakan bahan ramuan tanpa melihat resipi, sebaliknya hanya dengan menjamah makanan berkenaan.

“Antara hidangan yang menjadi kegemaran saya di Chacup Cafe ialah Nasi Udang Mentega kerana kuahnya lazat berkrim ditambah haruman daun kari, manakala minuman pula saya memilih Freezy Mango Tango kerana menggunakan buah mangga segar,” katanya.

Shajiry berkata, beliau menitikberatkan aspek kebersihan persekitaran premis termasuk bahan makanan kerana mahu kafe itu terus menjadi pilihan pelanggan. Malah, Chacup Cafe juga menyediakan ruangan untuk kanak-kanak bermain ketika ibu bapa mereka menikmati hidangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 January 2016 @ 5:01 AM