Oleh Junaidi Ladjna


Ranau: Jumlah mangsa banjir lumpur Kampung Masilau, yang ditempatkan di Dewan Mini Kundasang, Ranau, kini sebanyak 211 orang membabitkan 47 keluarga.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendi K Ramin berkata, sehingga jam 7 petang tadi, jumlah mangsa sebanyak 211 orang membabitkan 121 dewasa, 88 kanak-kanak dan dua bayi.

"Semua mereka kini ditempatkan di Dewan Mini Kundasang sebagai langkah berjaga-jaga susulan banjir lumpur di Kampung Mesilau, sejak petang semalam," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohd Affendi berkata, pusat pemindahan di Dewan Masyarakat Ranau kini dibuka bagi persiapan kemungkinan berlaku banjir kerana dikhuatiri air empangan Kampung Kibarambang dan Kampung Liwagu, di sini, melimpah ke kawasan berhampiran.

"Laporan mendapati empangan berkenaan dipenuhi air dan serpihan kayu menyebabkan pihak keselamatan menyarankan supaya penduduk berhampiran dapat berpindah ke Dewan Masyarakat Ranau buat sementara waktu.

"Dalam pada masa yang sama, anggota bomba sudah bersiap sedia untuk segala kemungkinan berlaku," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 7:41 PM