Penduduk yang dipindahkan ke dewan mini pekan Kundasang. FOTO ihsan penduduk Kampung Mesilau
Penduduk yang dipindahkan ke dewan mini pekan Kundasang. FOTO ihsan penduduk Kampung Mesilau
Junaidi Ladjana


Ranau: Lebih 100 penduduk daripada 28 keluarga di Kampung Mesilau Kundasang, di sini, dipindahkan ke dewan mini pekan Kundasang sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian banjir lumpur, 3 petang semalam.

Pegawai Daerah Ranau Faimin Kamin berkata, pemindahan itu bukan disebabkan rumah mereka terjejas tetapi sebagai langkah berjaga-jaga susulan kejadian banjir lumpur di sungai Kampung Mesilau.

"Semua penduduk dipindahkan malam semalam, selepas mendapat arahan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Ranau," katanya ketika dihubungi, petang tadi.

Menurutnya, sehingga kini mereka masih ditempatkan di Dewan Mini pekan Kundasang kerana belum ada arahan daripada pihak keselamatan untuk pulang ke kediaman masing-masing.

"Sehubungan itu, kita minta penduduk di sekitar kawasan yang terjejas supaya berhati-hati dan jika diarahkan berpindah oleh pihak keselamatan, patuhi arahan itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku," katanya.

Dalam kejadian 3 petang semalam, hujan lebat di sekitar daerah ini menyebabkan beberapa kampung berhampiran Sungai Mesilau, dilanda banjir lumpur.

Akibat daripada banjir itu, air sungai deras berwarna coklat itu turut membawa bersama pohon kayu tumbang menyebabkan jambatan menghubungkan pekan ini ke Pusat Latihan Dakwah Islam Kundasang rosak.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Jun 2015 @ 2:23 PM