LOKASI runtuhan di lereng Gunung Kinabalu dan keadaan  hulu anak sungai di Kampung Mesilau, Ranau. FOTO ihsan APM
LOKASI runtuhan di lereng Gunung Kinabalu dan keadaan hulu anak sungai di Kampung Mesilau, Ranau. FOTO ihsan APM
Junaidi Ladjana

PENDUDUK di Kampung Mesilau, Kundasang, Ranau digemparkan dengan runtuhan besar di lereng Gunung Kinabalu, berhampiran kawasan hulu anak sungai dekat kampung itu, petang tadi.

Berdasarkan rakaman diperoleh daripada penduduk kampung, kejadian dipercayai berlaku kira-kira 3 petang itu menunjukan keadaan debu dan runtuhan tanah berlaku di lereng Gunung Kinabalu.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pemangku Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah, Leftenan Kolonel Mohd Izaimi Md Daud berkata, pihaknya menerima panggilan daripada penduduk terbabit lalu mengerahkan sepasukan APM Ranau ke lokasi kejadian.

"Hasil pemantauan mendapati berlaku satu runtuhan di lereng Gunung Kinabalu pada kedudukan 1.5 kilometer dari Ulu Bekas Resort MNR, Stesen Taman Kinabalu Masilou.

"Bagaimanapun keadaan di lokasi runtuhan terkawal dan aliran sungai juga normal," katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, anggota APM kemudian menenangkan penduduk di Kampung Mesilau supaya tidak panik kerana keadaan runtuhan masih terkawal.

"Keadaan terkawal dan kita memantau keadaan runtuhan berkenaan.

"Sebarang maklukat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 8:50 PM