GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Oleh Lokman Zainal Abidin

Kuala Lumpur: Pendedahan Harian Metro berhubung luahan bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Muhd Fitri Jasni bukanlah rekaan individu yang kecewa apabila impian untuk bergelar antara penjaga gol hoki terbaik negara musnah begitu saja.

Sebaliknya beberapa individu lain yang pernah terbabit secara langsung dengan pengurusan serta pentadbiran sekolah terbabit turut tampil menyokong.

Terbaru seseorang yang mendakwa dirinya pernah menjadi pentadbir SSBJ, tetapi enggan namanya disiarkan berkata, tidak mustahil kes Muhd Fitri turut dialami ramai lagi bekas pelajarnya gara-gara dasar pelaksanaan yang jauh menyimpang daripada matlamat penubuhan sekolah itu sendiri.

“Dalam kes Muhd Fitri, saya berpendapat apa yang diluahkan itu ada benarnya. Itulah hakikat dihadapi pihak pengurusan dan pentadbir sekolah sukan yang sedar mengenai matlamat penubuhan SSBJ tapi masih berpegang kepada dasar sekolah harian.

“Bagi saya, jika dasar sedia ada itu masih menjadi pegangan, sampai bila-bila sekalipun SSBJ tidak akan mampu melahirkan atlet berwibawa sedangkan tujuan penubuhan sekolah itu sendiri adalah untuk menjadi ‘kilang’ atlet yang boleh diharapkan bagi menjulang nama negara.

“Sesuatu perlu dilakukan segera. Jika perlu, satu transformasi harus dibuat bagi memastikan negara tidak ketandusan atlet berkualiti,” katanya.

Sumber itu berkata, ramai yang menganggap SSBJ berjaya membentuk atlet cemerlang sejak ditubuhkan tetapi hakikatnya, mereka sebenarnya memperoleh produk yang dibentuk Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP) atau kini dikenali sebagai Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI).

Beliau berkata, peranan dimainkan SSTMI sebelum ini hanyalah sebagai ‘feeder’ kepada SSBJ yang mana atlet terbaik mereka di Tingkatan 4 akan dipindahkan ke SSBJ dengan alasan memudahkan mereka mengikuti Program Pelapis Negara.

“Akibatnya, SSTMI berdepan masalah kekurangan atlet. Yang tinggal hanya mereka tidak terpilih dan SSTMI terpaksa mengadakan pemilihan baru. Selain itu, mereka terpaksa menggunakan khidmat atlet sedia ada bagi menghadapi kejohanan. Ini menyebabkan SSTMI terpaksa menggunakan khidmat mereka di bawah umur bagi menampung kekurangan atlet untuk bertanding dalam kategori peringkat umur lebih tinggi, sedangkan SSBJ mempunyai atlet terbaik bagi menghadapi semua kejohanan di peringkat kebangsaan.

“Ini yang dikatakan lembu punya susu, sapi dapat nama. Pada pandangan kasar, SSBJ dilihat berjaya, tapi sebenarnya peranan mereka tidak begitu,” katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, SSTMI terpaksa mengadakan perbincangan dengan badan induk bola sepak serta hoki supaya membenarkan kedua-dua sekolah, SSBJ dan SSTMI untuk menubuhkan pasukan masing-masing bagi membolehkan atlet terbaik mereka tidak perlu berpindah ke ibu negara.

Hasilnya, lahirlah pasukan bola sepak Piala Presiden SSTMI dan Piala Presiden SSBJ selain skuad Hoki Remaja SSBJ dan SSTMI Thunderbolt sejak 2009.

Untuk rekod, skuad Piala Presiden SSTMI pernah melakar rekod membanggakan manakala SSTMI Thunderbolts sudah menjuarai Liga Remaja Kebangsaan sejak empat tahun lalu.

Justeru, beliau menyeru supaya SSBJ memainkan peranan lebih aktif dalam melahirkan atlet sambil mengutamakan matlamat penubuhan sekolah dan bukannya terlalu menitikberatkan soal akademik semata-mata.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Mac 2015 @ 5:23 AM