PEMAIN TNB, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (kanan) ketika beraksi dalam saingan Piala TNB 2018. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
PEMAIN TNB, Mohamad Akhimullah Anuar Esook (kanan) ketika beraksi dalam saingan Piala TNB 2018. - Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM
Jugjet Singh


THUNDERBOLTS - program yang dicetuskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 11 tahun lalu, mula menampakkan hasil dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL).

Tahun lalu, semua empat pasukan Thunderbolts layak ke separuh akhir Piala TNB manakala bagi saingan liga, skuad itu tewas di tangan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ).

Musim ini, Thunderbolts sekali lagi akan menaja Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ), Anderson dan Akademi Hoki Pahang-MSP.

Dan keempat-empat pasukan itu menjadi pilihan utama untuk memenangi gelaran Divisyen 1 yang bermula pada 7 Mac ini sambil Divisyen 2 bermula pada 28 Mac.

10 pasukan akan mengambil bahagian dalam Divisyen 1 musim ini dan selain empat pasukan Thunderbolts, enam skuad lain adalah PPJCC-Tigers, Olak, MBMB Warriors, SSMS Resilient, Datuk Bentara Titanium dan SSTMI Juniors.

Ketua jurulatih TNB, Nor Saiful Zaini Nasruddin berkata, Thunderbolts memainkan peranan besar dalam melahirkan pemain untuk skuad remaja dan pasukan senior kebangsaan.

"Kami akan meneruskan program pembangunan ini yang dimulakan sejak 2007 kerana kami mahu terus melahirkan pemain berbakat untuk negara.

"Kebanyakan pemain dalam skuad Projek 2020 adalah daripada program Thunderbolts," kata Nor Saiful.

Menurut Nor Saiful, hasilnya dapat dilihat apabila beberapa pemain daripada program mereka berjaya menampilkan persembahan cemerlang pada saingan Liga Perdana yang melabuhkan tirainya baru-baru ini.

Antara pemain yang dimaksudkan bekas tonggak kebangsaan itu adalah Mohd Akhimullah Anuar Esook, Syarman Mat Tee dan Arif Sabron.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Februari 2018 @ 10:45 PM