PEMAIN SSBJ Thunderbolt  Sheimyrul Azreel (kiri) beraksi menentang Anderson Thunderbolt.
PEMAIN SSBJ Thunderbolt Sheimyrul Azreel (kiri) beraksi menentang Anderson Thunderbolt.

Kuala Lumpur: Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) serta Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt) bakal berentap pada aksi final Piala Remaja TNB esok selepas kedua-dua pasukan melepasi halangan aksi separuh akhir kedua semalam.

SSTMI yang hadir selaku juara bertahan, menewaskan SSP-MSP Thunderbolt menerusi agregat 5-2 selepas mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan separuh akhir kedua.

SSBJ kembali beraksi ke pentas final sejak kali terakhir melakukannya pada 2009 selepas menang menerusi agregat 8-7 ke atas Anderson Ipoh meskipun tewas 3-4 pada perlawanan separuh akhir kedua semalam.

Bagi ketua jurulatih SSTMI Wan Roslan Wan Rahman, beliau hanya menasihatkan barisan pemainnya untuk beraksi konsisten dan memastikan pasukan layak ke final.

“Saya tidak kisah berapa jumlah jaringan mereka, tetapi yang penting kita dapat layak ke final.

“SSP-MSP memberi saingan sengit dan kita membenarkan lawan untuk memperoleh pukulan sudut penalti. Apapun, pemain kekal fokus sehingga tamat perlawanan,” katanya.

SSTMI di depan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan kapten pasukan Aliff Syazwan Noorshah.

Bagaimanapun, Ikmal Hafiz Zulkifli dan Idris Samad masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti minit ke-13 dan 26 untuk meletakkan SSP-MSP di depan dengan kedudukan 2-1.

Fitri Khairul Ariffin berjaya menyamakan kedudukan untuk SSTMI hasil gol padang minit ke-27 sebelum Aliff menjaringkan gol kemenangan dua minit selepas itu menerusi pukulan sudut penalti.

Sementara itu, ketua jurulatih SSBJ Lokman Yahaya mengaku gusar dengan prestasi barisan pemainnya menjelang perlawanan final selepas tewas 3-4 semalam.

“Anderson mula mengasak di hujung perlawanan dan ia sedikit sebanyak memberi tekanan kepada kami. Apapun, akhirnya kami berjaya juga mara ke final,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2016 @ 6:10 AM