SSBJ Thunderbolts sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan mereka iaitu SMKDBL. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
SSBJ Thunderbolts sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan mereka iaitu SMKDBL. FOTO Ihsan Konfederasi Hoki Malaysia
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Atas kertas, Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) Thunderbolts dijangka tidak berdepan masalah untuk merangkul gelaran berganda dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) musim ini.

Kejayaan menjuarai Divisyen Satu MJHL 2022 sememangnya menaikkan semangat para pemain SSBJ Thunderbolts untuk mendakap satu lagi kejuaraan iaitu Piala TNB menjelang aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil esok.

Bagaimanapun, SSBJ Thunderbolts sama sekali tidak boleh memandang rendah kemampuan lawan mereka iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Bentara Luar (SMKDBL) Persatuan Hoki Johor (PHJ)-Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

Ia berdasarkan kejayaan SMKDBL menyingkirkan juara bertahan, Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) dengan kemenangan 1-0 di separuh akhir hari ini.

Pengurus SSBJ Thunderbolts, Mohd Madzli Ikmar Mohd Nor berharap anak-anak buahnya dapat terus mengekalkan disiplin tinggi dan mencipta banyak peluang jika mahu memenangi perlawanan esok.

"Kalau ikutkan rekod terakhir kami menang 4-1 ke atas SMKDBL dalam saingan liga. Saya percaya kami ada kelebihan dari segi pukulan sudut penalti kerana kebanyakan gol kami hadir melalui set-piece ini.

"Sebenarnya memang kami tak jangka (jumpa SMKDBL) kerana pesaing kami selama ini adalah SSTMI Thunderbolts. Nasib tak menyebelahi mereka apabila tewas kepada SMKDBL.

"Walaupun kami hilang tiga pemain utama untuk perlawanan esok (hari ini) tetapi saya yakin kami boleh kalahkan SMKDBL untuk merangkul kejuaraan berganda musim ini," katanya.

Sebagai rekod, SSBJ Thunderbolts mara ke final selepas mencatat kemenangan 3-2 ke atas Akademi Hoki Pahang (AHP) SSP-MSPM Thunderbolts hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2022 @ 5:29 PM