PEMAIN SSTMI Tunderbolts  Amirul Hamizan Azahar (kanan) diasak pemain SSBJ Tunderbolt di Stadium Hoki Bukit Jalil.
PEMAIN SSTMI Tunderbolts Amirul Hamizan Azahar (kanan) diasak pemain SSBJ Tunderbolt di Stadium Hoki Bukit Jalil.
Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Empat jaringan Arif Sabron pada babak kedua mengesahkan kejuaraan Piala Remaja TNB milik Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ Thunderbolt) apabila menang tipis 4-3 ke atas Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI Thunderbolts) pada aksi final di Padang 2, Stadium Hoki Bukit Jalil, di sini, malam tadi.

Ketinggalan hampir sepanjang aksi langsung tidak mematahkan semangat anak buah Lokman Yahaya yang bangkit daripada ketinggalan 0-2 kepada SSTMI Thunderbolts.

Namun, apa yang lebih mencuri tumpuan adalah ketajaman Arif selaku tonggak serangan SSBJ Thunderbolt yang jelas menjadi duri dalam daging buat lawan.

Ibarat imbasan pertembungan final 2009, kedua-dua pasukan bermula agak perlahan apabila masing-masing gagal menembusi benteng pertahanan lawan yang menyaksikan SSTMI Thunderbolts menguasai hampir keseluruhan permainan.

Usaha berterusan SSTMI Thunderbolts akhirnya membuahkan hasil apabila Akhimullah Anuar memecah kebuntuan jaringan pada minit-minit akhir babak pertama selepas menyempurnakan hantaran Haizzat Azmi dari bahagian tengah untuk mendahului SSBJ Thunderbolt 1-0.

Bersambung selepas rehat, skuad kendalian Wan Roslan tidak menunggu lama untuk menambah gol kedua menerusi gerakan padang Luqman Hakim pada minit ke-43 yang bijak memperdaya penjaga gol lawan sebelum menolak mudah ke gawang untuk gol kedua pasukannya.

Tidak sampai seminit, SSBJ Thunderbolt merapatkan kedudukan 2-1 menerusi serangan pantas yang disempurnakan Arif.

Bagaimanapun, Arif Syafie menambah gol ketiga SSTMI Thunderbolts melalui pukulan sudut penalti pada minit ke-47 buat selesa mendahului dengan 3-1.

Drama sebenar bagaimanapun bermula selepas jaringan itu, apabila Arif mempamerkan belang sebenarnya dengan meledak tiga gol berturut-turut pada minit ke-57, 62 dan 70 untuk mengesahkan kejuaraan milik SSBJ Thunderbolt dengan kemenangan tipis 4-3.

Malah, hasil kebangkitan dramatik itu, Arif turut dinobatkan pemain terbaik perlawanan akhir sekali gus melengkapkan malam penuh gemilang buat pemain remaja kebangsaan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2016 @ 6:55 AM