Fadhlina (dua dari kiri) melakukan lawatan ketika Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2024 Berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan Daerah Klang, Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Fadhlina (dua dari kiri) melakukan lawatan ketika Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2024 Berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan Daerah Klang, Selangor di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Klang. FOTO FAIZ ANUAR
Ruwaida Md Zain


Klang: Kementerian Pendidikan (KPM) merekodkan sejumlah 86 sekolah membabitkan sekolah menengah dan sekolah rendah seluruh negara yang dikategorikan sebagai sekolah padat.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, formula kelas terapung yang dilaksanakan oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Meru bagi mengatasi isu berkenaan untuk jangka pendek dan sederhana adalah antara solusinya.

Menurutnya, kelas terapung merujuk kepada kelas tidak tetap, iaitu sesi pengajaran dan pembelajaran diadakan di mana-mana sahaja bilik kelas atau bilik kosong di sekolah akibat kekurangan bilik darjah di sesebuah sekolah.

"Kita juga ada cadangan dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) untuk mengoptimumkan kelas terapung, ia bukan sebagai kelas transit atau kelas ganti.

"Tetapi boleh digunakan sebagai kelas sepenuhnya berdasarkan subjek tetap, jadi murid masuk terus belajar. Ini boleh diuruskan dengan baik oleh pentadbir sekolah berdasarkan ruang yang ada di sekolah.

"Kelas terapung ini mengoptimumkan semua fasiliti yang ada di sekolah berkenaan termasuk bilik kesihatan, makmal," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri Program Tindak Program Tindak Susul Parlimen (TSP) Siri 1 Tahun 2024 berhubung Sekolah Padat dan Akses Pendidikan di Daerah Klang di Sekolah Menengah Kebangsaan Meru, Batu 7, di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, formula kelas terapung yang digunakan oleh SMK Meru itu perlu melihat kepada dinamika atau keadaan sesebuah sekolah sekiranya ingin dilaksanakan di sekolah lain.

"Setiap sekolah ini ada dinamika masing-masing jadi kita akan lihat setiap sekolah ini dalam konteks yang berbeza. Bagi sekolah yang ada fasiliti lebih boleh buat kelas terapung.

"Tetapi jika langsung tiada ruang, kena cari jalan untuk memastikan pembelajaran pelajar terus kondusif dan dapat meneruskan pengajian mereka.

"Tahniah kepada pentadbir SMK Meru khususnya kepada guru yang mempamerkan komitmen tinggi menyelesaikan isu kepadatan di sekolah ini malah perjalanan sekolah sangat tenang dan mengagumkan dan pengurusan murid-murid juga sangat teratur," katanya.

Beliau berkata, SMK Meru melaksanakan kelas terapung berikutan sekolah berkenaan antara sekolah yang mempunyai kepadatan tinggi dengan jumlah pelajar lebih 4,000 orang.

"Ini antara sekolah paling ramai dan terus menunjukkan trend peningkatan dan dalam masa sama, sekolah ini memang sesi penuh pagi dan petang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 April 2024 @ 5:11 PM