BATU sungai disusun di belakang badan pelanggan selama 30 hingga 45 minit.
BATU sungai disusun di belakang badan pelanggan selama 30 hingga 45 minit.
BATU sungai turut digunakan untuk rawatan kecantikan sejak lebih 2,000 tahun dulu.
BATU sungai turut digunakan untuk rawatan kecantikan sejak lebih 2,000 tahun dulu.
PUPUR emas mengatasi masalah kulit kering dan jeragat.
PUPUR emas mengatasi masalah kulit kering dan jeragat.
RUANG sauna turut disediakan.
RUANG sauna turut disediakan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Enam biji batu sungai sederhana besar diletakkan di dalam bekas berisi air dan sedia untuk dipanaskan. Sementara menunggu batu sungai itu mencapai suhu yang ditetapkan, ahli terapi menyediakan kelengkapan untuk pelanggan melakukan urutan ringkas.

Hampir 30 minit selepas batu mengalami kepanasan sederhana, ahli terapi meletakkan batu satu persatu di belakang badan di sepanjang tulang belakang pelanggan.

Bagi yang tidak biasa, keadaan suam akan memberikan rasa kurang selesa. Namun, lama-kelamaan mereka mula mengalami rasa lega apabila aliran panas yang dikeluarkan mula meresap ke kulit.

‘Lega dan menenangkan.’ Itulah antara maklum balas pelanggan selesai sesi urutan. Ada pula yang boleh melelapkan mata sepanjang sesi ini berlangsung.

“Jika dibiarkan selama 40 minit, lama-kelamaan batu ini perlahan-lahan jatuh dari badan dan ia menandakan kepanasannya sudah tiada,” ujar pengurus Ain Muslimah Spa, Nurain Mohd Akhir sambil tersenyum ramah.

Menurut Nurain, rawatan kecantikan menggunakan batu kini semakin digemari dan mendapat perhatian pelanggan. Berasal lebih 2,000 tahun lalu, urutan batu panas adalah seni penyembuhan kuno yang dipercayai mampu memberikan kelegaan, mengurangkan tekanan serta rasa selesa kepada badan. Ini bersesuaian dengan masyarakat pada zaman dulu yang melakukan kerja membabitkan kekuatan fizikal.

Menggunakan batu sungai yang berkebolehan menyerap dan menyimpan haba lebih lama, jelas Nurain, urutan ini menggabungkan teknik ayurveda seperti chi yang lebih memusatkan perhatian kepada teknik pernafasan dan urutan lembut dan perlahan.

Terdapat dua cara penggunaan batu panas dalam kecantikan iaitu dengan hanya meletakkan batu pada bahagian tertentu seperti belakang badan, bahagian jantung dan saluran pencernaan kemudian membiarkan batu jatuh dari badan.

“Ia akan memberikan rasa hangat pada bahagian tubuh yang sedang menjalani proses terapi dan ketenangan disebabkan rasa hangat ini dipindahkan menerusi badan lantas mengurangkan ketegangan,” katanya.

Cara kedua mengunakan batu panas sebagai alat mengurut yang dilakukan ke seluruh tubuh. Paduan kehangatan dan tekanan daripada batu yang keras sangat efektif untuk melancarkan pengaliran darah. Mereka yang melakukan aktiviti lasak menjadi lebih lega dan tenang.

“Kehangatan yang dihasilkan daripada batu membuatkan otot tubuh lebih tenang dan selesa. Dengan ini, ia mampu menyeimbangkan tenaga dalam badan, sekali gus menjadikan tubuh lebih sihat dan bertenaga. Bagi yang mengalami masalah sakit dan sengal-sengal badan, kaedah urutan ini mampu melegakan kesakitan serta membuang toksin dan angin,” katanya yang memberitahu teknik urutan batu panas ini adalah rawatan tradisi yang popular dalam kalangan masyarakat Cina.

Tambahnya, keistimewaan kaedah urutan ini adalah kesan yang lebih lama berbanding menggunakan tangan atau mesin kerana urutan dengan batu membolehkan kesan haba bertindak lebih lama. Urutan batu yang dilakukan secara perlahan-lahan mampu memecahkan lemak terkumpul namun perlu dilakukan secara berulang.

“Jika kita mengurut menggunakan tangan, tangan kita hanya panas seketika, tetapi menggunakan batu panas, haba yang diperlukan dapat bertahan lebih lama. Oleh itu, ia mampu memberikan kesan jangka panjang terhadap proses pemulihan,” katanya.

Selain terkenal dengan urutan batu, spa terbabit juga menyediakan rawatan kecantikan wajah menggunakan pupur dan serum untuk semua jenis kulit. Antara yang mendapat perhatian adalah rawatan berasaskan cecair emas yang berfungsi mengurangkan jeragat dan kulit kering bagi yang berusia 30 tahun ke atas.

Menggunakan bahan semula jadi seperti tumbuh-tumbuhan herba, sayur-sayuran dan buah-buahan sebagai asas rawatan, bahan pupur ini disapu ke seluruh wajah kemudian dibiarkan selama 10 hingga 15 minit selepas itu topeng wajah ini akan ditanggalkan.

“Namun, bagi mereka yang memiliki masalah jeragat teruk mereka harus berkunjung ke spa sekurang-kurangnya dua kali sebulan untuk mendapatkan rawatan yang sama. Jika dilakukan secara konsisten dalam tempoh sebulan jeragat mulai berkurangan,” katanya.

Urutan kepala menggunakan minyak pudina juga antara yang digemari pelanggan kerana kebanyakan wanita berkerjaya kerap mengalami tekanan di tempat kerja.

“Kerja yang banyak, tersekat dalam kesesakan lalu lintas dan apabila pulang ke rumah terpaksa menguruskan keluarga harus dilalui setiap hari. Tekanan pula tidak boleh dibiarkan kerana lama-kelamaan ia akan mengganggu sistem tubuh. Oleh itu, wanita memerlukan tempat untuk menghilangkan perasaan sedih iaitu dengan melakukan urutan tekanan menggunakan minyak pudina,” katanya.

Semua bahan spa dihasilkan sendiri bagi memberikan kepuasan kepada pelanggan. Ia tidak mempunyai bahan kimia dan sudah tentu tidak meninggalkan sebarang kesan sampingan.

Spa di Bangi ini cawangan keempat selepas dibuka di Seremban, Senawang, Sikamat dan Ampangan. Ia dibuka setiap hari kecuali Rabu dari jam 10 pagi hingga 7 malam pada hari biasa dan 9 pagi hingga 6 petang pada hujung minggu.

Harga bergantung kepada pakej disediakan. Bagi yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh melayari www.ainmuslimahspa.com atau Facebook Ain Muslimah Spa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Februari 2015 @ 12:27 PM