BALUTAN badan daun pisang sesuai untuk lelaki dan wanita.
BALUTAN badan daun pisang sesuai untuk lelaki dan wanita.
BALUTAN badan daun pisang sesuai untuk lelaki dan wanita.
BALUTAN badan daun pisang sesuai untuk lelaki dan wanita.
PENGASAS Anju Spa, Lisa Chan (kanan) dan Ananthi tawar konsep spa Bali.
PENGASAS Anju Spa, Lisa Chan (kanan) dan Ananthi tawar konsep spa Bali.
Yusliza Yakimir Abd Talib


Jika nasi lemak biasanya dilapik dengan daun pisang bagi menimbulkan aroma yang enak dan mengekalkan kelembapan, tahukah anda daun pisang juga dapat dijadikan balutan badan menggantikan plastik dalam rawatan di spa?

Buat penggemar spa, memanjakan kulit dengan terapi unik menggunakan daun pisang alternatif baru untuk balutan badan di negara ini. Bukan saja membuatkan kulit mulus dan lembut, kulit dan seluruh tubuh juga terasa relaks.

Pisang berasal dari kawasan Asia Tenggara memiliki kandungan serotonin yang berfungsi sebagai antitekanan. Kandungan vitamin B dan E juga sempurna untuk menjaga kelembapan kulit.

Daunnya dapat mengeluarkan aroma yang dapat menenangkan saraf, oleh itu rawatan menggunakan daun pisang dapat menyegarkan badan di samping melembapkan kulit.

Daun pisang yang biasanya boleh didapati di tepi jalan satu cara semula jadi untuk memanaskan badan dan membuang toksin dari badan. Bahan aktif yang dipanggil allantoin yang terdapat dalam daun, membantu penyembuhan lebih cepat, membunuh kuman dan merangsang pertumbuhan sel kulit baru.

Daun pisang juga mengandungi antioksidan yang boleh meneutralkan toksin dalam badan dan mengandungi ciri-ciri antiradang.

Jika mahu mengembalikan kesegaran kulit tubuh, rawatan menggunakan khasiat daun pisang ini antara rawatan semula jadi yang perlu dicuba.

Anju Spa antara spa menawarkan terapi unik ini di ibu kota diasaskan oleh Lisa Chan dan Ananthi Krishnan, rawatan menggunakan daun pisang agak asing di negara ini dan biasanya rawatan itu dilakukan di India dan Indonesia.

Kelebihan rawatan tubuh semula jadi yang digabungkan dengan teknik urutan dapat melancarkan peredaran darah serta memiliki pelbagai manfaat lain.

Dengan hanya RM199 selama 60 minit, rawatan balutan badan daun pisang di spa ini dilakukan dengan pelanggan boleh memilih antara tiga jenis rawatan iaitu Coffee Revive, Ros dan Bunga Raya atau Mococa Borneo.

Ketiga-tiga jenis rawatan itu mempunyai manfaat tersendiri dan mengikut keperluan masing-masing.

Bagi rawatan Coffee Revive, badan disaluti campuran kopi, herba, ginseng dan tongkat ali yang mengandungi asid buah-buahan semula jadi dan antioksida untuk melawan selulit dan mengurangkan ketidaksempurnaan kulit sambil merangsang deria. Selepas rawatan pengelupasan, losen pelembap disapu pada seluruh tubuh untuk melembapkan kulit.

Bagi rawatan Ros dan Bunga Raya, inspirasi daripada ekstrak kelopak bunga ros dan bunga raya, diadun bersama beras hancur. Aroma daripada bungaan ini mencipta haruman yang feminin dan sensual untuk tubuh.

Dengan kesan pengelupasan dan pencerahan lembut, ia menyingkirkan sel kulit mati, meninggalkan kulit lebih cerah dan lembut dengan haruman manis dari pati ros.

Bagi rawatan Mococa Borneo, penggunaan koko, santan kelapa, dan kopi memberikan khasiat menenangkan pada kulit dan menyenangkan deria. Koko Theobroma ialah sumber yang kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan untuk menenangkan dan melegakan kulit, meninggalkan aroma lazat yang lembut. Bahan semula jadi diperoleh dari Borneo yang kaya dengan pelbagai tumbuhan semula jadi.

Menurut Penolong Pengurus Anju Spa, Virosha Sudhish, sebelum rawatan dimulakan, daun pisang terlebih dulu direndam dalam air mendidih bagi membuang kotoran dan bakteria.

Selepas dibiarkan seketika, air rendaman dibuang dan sekali lagi direndam dalam air mendidih untuk melembutkan struktur daun pisang untuk memudahkan balutan badan pelanggan.

“Pupur disediakan mengikut rawatan pilihan pelanggan. Ia dioles di seluruh badan sambil urutan perlahan dilakukan. Agar nutrisi yang ada di dalam pupur meresap dengan baik, tubuh diselimuti lembaran daun pisang selama 20 ke 30 minit.

“Daun pisang ini dapat membantu melembapkan kulit dan menjaga kehangatan suhu tubuh. Sebagai penutup, urutan ringan dilakukan untuk menyegarkan badan dan kemudian dibilas untuk membersihkan sisa pupur,” katanya.

Terletak di VE Hotel & Residences, Kuala Lumpur, Anju Spa yang menawarkan khidmat berkonsepkan Bali memiliki tujuh bilik untuk kemudahan pelanggan dengan bilik mandi peribadi untuk memberi lebih privasi dan kelesesaan.

Sebuah bilik dibuat khas untuk urutan kaki, empat bilik untuk urutan, balutan badan dan sental manakala dua bilik direka khas untuk pasangan.

Selain rawatan daun pisang, ia menawarkan khidmat urutan badan daripada urutan lembut menenangkan, penyembuhan batu panas dan sukan terapeutik.

Selain itu, urutan kepala menggunakan minyak kelapa khas yang menenangkan, pertumbuhan rambut, dan membantu mencegah uban dan keguguran rambut turut ditawarkan selain urutan kaki yang memberi tumpuan kepada pusat akutekanan pada kaki, menggalakkan peredaran darah yang lebih baik dan melegakan tekanan.

Sental badan yang mengelupas, membangkitkan dan menyegarkan badan dengan mengeluarkan sel mati untuk kulit lebih lembut, bercahaya dan bertenaga turut ditawarkan.

Rawatan muka yang ditawarkan termasuk yang direka untuk membersihkan kulit secara mendalam, manfaat pelembap, atau bantuan untuk melegakan tekanan serta khidmat merias kuku kaki dan tangan.

Anju Spa beroperasi setiap hari bermula 11 pagi hingga 11 malam. Untuk maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web www.anjuspa.com dan Facebook Anjuspa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Disember 2016 @ 1:48 PM