DEKORASI sederhana menarik perhatian.
DEKORASI sederhana menarik perhatian.
LULUR badan membantu mencerahkan dan melembutkan kulit.
LULUR badan membantu mencerahkan dan melembutkan kulit.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi

Alunan zikir atau muzik berkonsepkan Bali sengaja dipasang bagi memberi kedamaian dan ketenangan tatkala kaki melangkah masuk ke D'amani Spa ini.

Mata dijamu dengan rona hijau pucuk pisang manakala susun atur perabotnya juga tampak kemas, sekali gus mewujudkan keselesaan ketika berada di situ.

Spa yang terletak di Jalan Putra Kajang 3, Taman Putra Kajang itu dibuka sejak Mei 2012. Ia menyajikan dekorasi menarik dengan susunan deretan lilin wangian aromaterapi yang menenangkan.

Suasana yang menarik perhatian itu membuatkan penulis juga berasa teruja untuk mengetahui rawatan yang disediakan di spa ini.

Sebelum membuka spa ini, pemiliknya, Alya Amani Alfred menimba ilmu dan pengalaman dengan bekerja di spa berbeza. Selepas yakin dengan kemahiran dimiliki, barulah dia mengambil keputusan untuk membuka spa sendiri.

"Saya memang meminati bidang spa dan pada masa sama banyak membuat pemerhatian selama 13 tahun mengenai keunikan dan kelengkapan rawatan yang diperlukan oleh pelanggan.

"Selain itu, saya juga mendapati ada sesetengah spa yang membenarkan lelaki dan wanita melakukan rawatan di pusat kecantikan mereka. Ini membuatkan saya terfikir untuk membuka spa yang dikhaskan untuk wanita saja.

"Ini kerana ketika rawatan kecantikan dilakukan, pasti kita mahukan suasana yang selesa tanpa kehadiran golongan lelaki, apatah lagi bagi mereka yang bertudung. Kena ambil berat soal aurat pelanggan," katanya.

Tambahnya, kelainan yang diketengahkan dalam spa miliknya itu ialah teknik urutannya. Dia menggabung-kan enam jenis teknik urutan dalam satu rawatan, mengikut permintaan pelanggan bagi membantu mengurangkan tekanan dan keletihan.

Gabungan teknik enam urutan seperti Lomi-Lomi (urutan istimewa berasal dari Hawaii), urutan Swedish, Shiatsu, aromaterapi, tradisional dan urutan Thailand lazimnya berlarutan selama satu jam.

Selain urutan, pengunjung juga boleh merasai peluang melulur badan menggunakan lulur adunan resipi Alya Amani sendiri.

"Rawatan lulur badan menjadi tanda pengenalan bagi spa ini ialah pakej pemutihan yang menggunakan krim pemutih dan digabung bersama garam bukit.

"Krim pemutih yang digunakan mengandungi kolagen dan gabungan bahan utama dalam pakej lulur ini sesuai untuk wanita yang mahukan kulit lembut.

"Malah, rawatan yang dilakukan selama 30 minit ini turut membantu mencerah, menghaluskan dan menegangkan kulit untuk wanita 20-an ke atas yang begitu mementingkan penjagaan kulit serta penampilan," katanya.

Selain badan, pengunjung boleh merasai keunikan rawatan wajah mengikut keinginan masing-masing. Antara pakej rawatan wajah digemari ramai pengunjung ialah Collagen Whitening Gold.

Rawatan ini membantu menegangkan kulit dan mengurangkan kewujudan jeragat pada wajah. Produk yang digunakan dalam rawatan ini adalah buatan Bumiputera dan dihasilkan daripada bahan semula jadi seperti buah-buahan yang sesuai disapu pada semua jenis kulit.

Selain urutan menggunakan tangan, pengunjung juga merasai kesegaran urutan mesin pada wajah bagi mendapatkan kesan yang diinginkan.

Bukan itu saja, teknik urutan moden (menggunakan mesin) juga dipraktikkan untuk membantu membunuh bakteria pada kulit berjerawat atau kedutan bagi memberikan kesegaran pada kulit muka.

"Di samping itu, kami juga menyediakan pakej lengkap untuk wanita selepas bersalin termasuk rawatan sauna, urutan, lulur dan mandian herba.

"Wanita selepas bersalin sememangnya memerlukan rawatan pemulihan untuk mengembalikan semula tenaga dan kesegaran badan. Justeru, mandian herba dapat membantu menyegarkan kembali tubuh.

"Antara bahan rempah yang digunakan ialah lengkuas, daun sirih dan halia. Sebelum dimasukkan ke dalam mandian, ia perlu dikeringkan terlebih dulu dan dijadikan serbuk," katanya.

Tambahnya, serbuk rempah yang dibuat sendiri itu dimasukkan ke dalam air suam dan pelanggan berendam selama 20 minit. Rawatan ini membantu mengeluarkan angin dalam badan yang sesuai dilakukan wanita selepas berpantang.

Sementara itu, Alya Amani menyarankan pengunjung agar membuat temu janji terlebih dulu sebelum datang ke spa bagi mengelakkan mereka menunggu lama. Sebarang maklumat lanjut, layari [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 November 2014 @ 5:03 AM