SPA berkonsepkan seni bina klasik istana diraja Jawa.
SPA berkonsepkan seni bina klasik istana diraja Jawa.
HALIA, serai dan kulit kayu manis antara bahan semula jadi yang digunakan untuk produk Mustika Ratu.
HALIA, serai dan kulit kayu manis antara bahan semula jadi yang digunakan untuk produk Mustika Ratu.
URUTAN jamu memberikan kelegaan terutama mereka yang mengalami masalah angin dalam badan.
URUTAN jamu memberikan kelegaan terutama mereka yang mengalami masalah angin dalam badan.
Oleh Siti Zarinah Sahib


Saat menjejakkan kaki di Taman Sari Royal Heritage Spa yang terletak di Wisma Mustika Ratu di Taman Shamelin Perkasa, Kuala Lumpur seakan berada di istana Jawa. Bermula dengan sapaan ramah pe­nyambut tetamu berpakaian tradisional Jawa sehinggalah hiasan dalaman berkonsep­kan seni bina klasik istana Jawa atau dikenali sebagai Istana Air, ia menampilkan sesuatu yang berbeza.

Pengunjung disambut dengan bunyi pancutan air dari kolam yang zaman dulunya menjadi tempat bersiram puteri raja. Sambil itu alunan muzik tradisional Jawa membuai lembut di telinga.

Pastinya suasana sebegini memberikan ketenangan kepada pengunjung ditambah hiasan dalaman berkonsepkan kerabat raja Jawa dapat dilihat menerusi ukiran batu pada dinding dan pintu gerbang dengan simbol asal Taman Sari kelihatan unik dan istimewa. Unsur lukisan batik dan ukiran kayu menghiasi hampir kesemua tujuh bilik rawatan.

Sebelum rawatan dijalankan pengunjung dihidangkan secangkir minuman panas halia dengan campuran madu yang tentunya memberikan kesegaran. Juruterapi pula menyambut pelanggan dengan menatang sebiji dulang berisi tujuh jenis biji-bijian dan setiap bijian mempu­nyai simbolik tertentu. Ritual yang berasal dari istana Jawa ini kemudiannya diperkenalkan di sini sebagai tanda hormat dan penghargaan kepada setiap pelanggan.

Menurut Pengurus Promosi dan Pemasaran Mustika Ratu Setiawaty Madzi, pelbagai rawatan dari hujung rambut hingga kaki disediakan Pengasas Mustika Ratu dan Pemilik Taman Sari Royal Heritage Spa, Ibu Mooryati Soedibyo yang juga kerabat diraja Keraton Surakarta.

Selain pelbagai jenis rawatan umum seperti urut Jawa dan refleksologi, terdapat juga rawatan khusus seperti program perawatan kuno Jawa, rawatan diraja Jawa, lulur herba, enzim betik, membalut tubuh

menggunakan rumput laut atau lumpur gunung berapi, masker badan menggunakan sengkuang, menyerikan tubuh dengan garam laut dan rawatan wajah.

Urutan batu panas dan jamu antara yang mendapat perhatian pelanggan disebabkan manfaat diperoleh selepas melakukannya. Selain sesuai untuk sesiapa saja, ia memberikan hasil memuaskan untuk mereka yang ingin melangkah ke gerbang perkahwinan.

Urutan batu panas atau dikenali sebagai terapi pijat di Indonesia adalah salah satu teknik urutan badan menggunakan batu hitam basalt dari kawasan gunung berapi yang dihangatkan sebelum diletakkan pada tubuh.

Selepas kepanasannya sedikit reda dan sesuai diletakkan di badan, barulah juruterapi mengambilnya dan meletakkan pada bahagian tubuh yang tegang seperti tulang belakang, bahu dan leher sehingga aliran panas batu terasa sehing­ga ke urat saraf.

“Pelanggan dapat merasai haba hangat yang dialirkan menerusi batu lantas memberikan kelegaan terutama bahagian badan yang lenguh, sakit atau tegang. Namun sebelum itu juruterapi akan mengurut badan pelanggan terlebih dulu bagi melancarkan aliran darah,” katanya.

Terdapat pelbagai manfaat diperoleh menerusi urutan batu panas, antaranya mengurangkan ketegangan dan memberikan rasa rileks, membantu tidur lebih lena, mengurangkan sakit badan semasa haid dan sakit pada bahu. Bagi individu yang sering mengalami sakit kepala, urutan batu panas membantu meredakan masalah anda, mengurangkan kekejangan otot tubuh, sekali gus membantu melancarkan aliran darah dan sebagai detoksifikasi.

Untuk kesan yang lebih sempurna pelanggan digalakkan melakukan urutan batu panas bersama urutan jamu yang akan memberikan kesegaran dan keselesaan berganda. Urutan jamu menggunakan bunjut kain belacu yang mengandungi pelbagai jenis herba semula jadi berfungsi menenangkan otot badan, melancarkan aliran darah, mengharumkan bau badan serta menghaluskan kulit. Menariknya bunjut ini hanya digunakan sekali saja dan ia boleh dibawa pulang.

“Bunjut ini bukan saja sesuai diletakkan pada bahagian badan, sebaliknya diletakkan pada perut bagi membuang angin dan melegakan tubuh serta pada bahagian badan yang sakit,” tambahnya.

Bukan saja menyediakan rawatan untuk dewasa, Taman Sari Royal Heritage Spa ini juga menerima pelanggan cilik bermula usia sebulan bagi ibu yang mahu bayi mereka diurut. Ia selaras konsep dan falsafah Ibu Mooryati iaitu perawatan kesihatan dan kecantikan Paripurna (holistik) yang bermaksud kecantikan jasmani sama pentingnya dengan kecantikan rohani manakala kecantikan dalam dan luaran haruslah seiring.

“Dengan faktor persekitaran cuaca panas, tekanan di tempat kerja, kerja rumah yang tidak pernah selesai dan kesesakan jalan raya, ia menimbulkan pelbagai masalah kepada wanita. Untuk itu golongan ini memerlukan ruang dan tempat memanjakan tubuh bagi melupakan seketika masalah yang mereka hadapi,” katanya.

Bagi mereka yang ingin melakukan urutan batu panas dan urut jamu ada harga istimewa disediakan. Untuk urut batu panas harga promosi ditawarkan daripada RM232 menjadi RM195. Harga asal urutan jamu RM250 pula dikurangkan kepada RM210 khas untuk pelanggan Taman Sari Royal Heritage Spa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 April 2015 @ 12:49 PM