Oleh Erywan Norshal


Berikutan pasaran kapcai yang semakin memberangsangkan, Suzuki Assemblers Malaysia Sdn Bhd mengambil peluang itu dengan memperkenalkan model terbaru menerusi Suzuki Smash Fi, baru-baru ini.

Biarpun kategori kapcai, ia sebenarnya menerapkan ciri teknologi motosikal berkuasa tinggi legenda menerusi Suzuki Hayabusa.

Setiap komponen jentera berkenaan dibangunkan semula untuk mencapai kecekapan optimum, sekali gus lebih jimat minyak dan bernilai untuk wang.

Jentera berkenaan dijana dengan enjin sistem suntikan bahan api bersesaran 113cc dan sememangnya menawarkan tunggangan lancar.

Suzuki Smash Fi hadir dengan suntikan bahan api untuk mening-katkan kuasa dan penjimatan petrol serta menawarkan daya pecutan lebih lancar.

Meter kelajuan tampak lebih besar dan mudah dibaca, selain kemudahan tempat meletak barang di bawah tempat duduk dengan muatan sehingga lapan liter.

Perumah lampu depan dibesarkan sebanyak 100 peratus untuk pancaran lebih luas dan cerah, manakala belakang dengan reka bentuk motosikal berkuasa tinggi jenama Suzuki.

Ia mempunyai dua varian berbeza membabitkan SR dan R yang masing-masing menawarkan tiga serta dua pilihan warna menarik.

Suzuki Smash Fi dijual pada harga RM4,780 bagi varian R, manakala SR berharga RM4,980.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 January 2015 @ 5:02 AM