Lizam Ridzuan


POSISI menunggang selesa.
POSISI menunggang selesa.

JENTERA Sport Adventure Tourer, Suzuki V-Strom 650XT, mempunyai kelebihan tersendiri dan sesuai buat pelbagai tujuan tunggangan kepada pemiliknya.

Model ini kini ditawarkan di pasaran tempatan di bawah pengedar baharu iaitu Suzuki Malaysia Sdn Bhd (SMSB).

SMSB menawarkan rangkaian model terkini serta tawaran khidmat selepas jualan dan alat ganti yang lebih baik.

Vroom berpeluang menunggang ujinya baru-baru ini dengan menjelajah ke Teluk Intan, Perak bagi merasai kelebihan jentera yang mula diperkenalkan sejak 2004.

Melihat kepada rekaan generasi ketiga V-Strom, ia diinspirasikan daripada jentera rali DR-Big yang jelas dapat dilihat pada rekaan hadapan dengan elemen 'paruh' yang menyerlahkan ciri kelasakan.

Lampu hadapan masih mengekalkan lampu halogen. Ia memang jelas pada waktu malam, namun penulis berpendapat, ia seharusnya menggunakan cahaya LED sepenuhnya, tetapi bagi model ini, lampu LED ini hanya terdapat pada bahagian belakang.

Kluster meter gabungan analog takometer dan digital dengan kelajuan, kedudukan gear, maklumat bahan api, suhu serta paparan waktu tersedia memudahkan perancangan perjalanan dilakukan.

Selain itu, rekaan tangki 20 liter tirus menambah padanan gaya keseluruhan motosikal dan berfungsi untuk keselesaan kaki menunggang.

Besi pemegang lebar pula memudahkan kawalan ketika melalui laluan mencabar. Ia dilengkapi ciri butang fungsi selain suis penghidup enjin.

Menggunakan kerangka aluminium Twin-Spar, ia bukan sahaja terasa ringan malah posisi menunggang lebih selesa selain memudahkan pengendalian dalam pelbagai situasi.

Untuk model XT, ia dilengkapi pelindung tangan dan enjin. Selain untuk tujuan keselamatan, ia juga menambah ciri lasak jentera sebegini.

Pelana dua kedudukan sememangnya selesa untuk perjalanan dekat atau jauh termasuk untuk pembonceng, dengan pemegang sisi yang turut berfungsi sebagai platform meletak bekas simpanan belakang atas atau sisi.

DIINSPIRASIKAN daripada jentera rali.
DIINSPIRASIKAN daripada jentera rali.

Menambah keselesaan, ia dilengkapi cermin pelindung angin boleh laras secara manual dengan tiga ketetapan selain untuk mengurangkan tiupan serta aliran angin yang lebih baik.

Fork hadapannya jenis teleskopik manakala rim belakang jenis jejari 17 inci. Rim depan pula bersaiz 19 inci dan ia dipadankan dengan tayar tanpa tiub Bridgestone Battlax Adventure A40.

Untuk prestasi, ia dijana enjin 645 cc V-Twin empat lejang, dua silinder sejukan cecair DOHC yang

menjana kuasa 71PS pada 8,800 rpm dan tork 62Nm pada 6,300rpm.

Menerusi transmisi enam kelajuan, ia menawarkan kelancaran tunggangan pada pelbagai kelajuan.

V-Strom ini melontarkan kuasanya dengan sangat baik, malah di lebuh raya, tenaganya sangat lancar sebaik pendikit dipulas.

PANEL meter pelbagai maklumat.
PANEL meter pelbagai maklumat.

BREK cakera dengan ABS.
BREK cakera dengan ABS.

Melalui Sistem Kawalan Cengkaman, ia memantau kelajuan roda hadapan dan belakang, kedudukan 'crank' dan gear dengan mengawal kuasa pemasaan pembakaran dan penghantar udara.

Tiga mod cengkaman disediakan sama ada Off, 1 untuk ciri tunggangan sport serta 2 untuk keadaan jalan basah atau sejuk.

Mod ini boleh ditukar menerusi suis pada pemegang. Ia menambah keyakinan penulis merentasi laluan hujan ketika pulang ke Kuala Lumpur.

Selain itu, dengan Sistem Brek Anti-Kunci (ABS) hadapan dan belakang, Bantuan RPM Rendah bagi kelancaran serta sistem penghidup enjin ringkas memudahkan permulaan perjalanan.

SOKET pengecas.
SOKET pengecas.

Mencubanya di laluan denai, sawah serta lebuh raya begitu lancar dan paling penting, ia mudah dikendalikan dengan kedudukan pelana 835 milimeter (mm), sesuai buat ketinggian penulis yang sekitar 177 sentimeter.

Secara keseluruhan, Suzuki V-Strom 650XT ini adalah jentera pelbagai guna sesuai untuk tunggangan harian atau melakukan perjalanan jauh pada hujung minggu.

PELINDUNG enjin.
PELINDUNG enjin.

Ia mudah untuk dikendalikan selain memberi kepuasan tunggangan.

Suspensi belakangnya pula jenis boleh laras pra-bebanan. Ia bagi disesuaikan dengan kapasiti muatan dan gaya tunggangan.

Selain itu, sistem enjin diperkemaskan dengan Suzuki Dual Throttle Valve (SDTV) bagi kelancaran kuasa dan bahan api efisien.

Tangki penuh 20 liter ini mampu membawa penulis menjangkau perjalanan sehingga 350 kilometer (km). Penulis menunggangnya dengan pelbagai kelajuan dan situasi jalan.

Jarak kelegaan jalan sekitar 170mm membolehkan jentera seberat 216 kilogram ini melalui jalan lasak sederhana dengan baik.

Dua pilihan warna ditawarkan iaitu Merah Candy dengan Hitam Glass Sparkle dan Kuning Champion.

Untuk pasaran Malaysia, Suzuki V-Strom 650XT dijual pada harga RM37,989 (atas jalan tanpa insurans).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Disember 2021 @ 6:03 AM