ANGGOTA Hizbut Tahrir membawa sepanduk di perhimpunan membantah sambutan Hari Valentine di luar sebuah sekolah di Surabaya.
ANGGOTA Hizbut Tahrir membawa sepanduk di perhimpunan membantah sambutan Hari Valentine di luar sebuah sekolah di Surabaya.
AFP

Jakarta: Majlis Ulama Indonesia (MUI) semalam mengancam untuk mengeluarkan fatwa terhadap penjualan kondom ekoran laporan mengenai penjualan coklat bersama produk itu sempena Hari Valentine.

Gambar mengenai bar coklat yang dibungkus bersama kondom diterbitkan akhbar tempatan selain tersebar di media sosial di negara itu sejak beberapa hari lalu.

Pengerusi MUI, Ma’ruf Amin berkata, pertubuhan itu sedang menyiasat laporan berkenaan kerana ia bercanggah dengan undang-undang.

Kata Ma’ruf, produk sebegitu membuka peluang kepada orang ramai terbabit dalam aktiviti zina.

“Penjualan kondom membawa kepada amalan pelacuran dan seks bebas,” katanya.

Katanya, masyarakat Indonesia sudah lama menolak amalan itu.

Jika laporan mengenai pakej coklat - kondom itu benar, kata Ma’ruf, sangat mungkin MUI mengeluarkan fatwa mengharamkan penjualannya di Indonesia.

Laporan mendakwa, beberapa kedai di Malang menjual coklat bersama kondom, mendorong pihak berkuasa melancarkan serbuan di beberapa lokasi.

Hari Valentine disambut di seluruh dunia hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 Februari 2015 @ 5:14 AM