AFP

Islamabad: Mahkamah Tinggi Islamabad mengharamkan sambutan Hari Valentine di bandar raya ini selepas ada pihak yang memfailkan petisyen menuntut cinta dipergunakan sebagai alasan untuk melindungi perbuatan tidak bermoral, bogel dan tidak sopan yang bertentangan dengan budaya Pakistan.

Keputusan itu disambut baik parti Islam yang turut mendesak media elektronik dan cetak berhenti mempromosikan Hari Valentine.

Sebahagian restoran di sini, menghantar pesan teks mengiklankan promosi Hari Valentine walaupun selepas keputusan itu diumumkan.

Namun, sambutan hari itu hambar di beberapa kawasan, terutama Peshawar yang konservatif dengan hanya beberapa kedai menjual barangan berkaitan Valentine.

Sambutan Hari Valentine semakin popular dalam kalangan golongan muda Pakistan dengan mengambil kesempatan memberi kad ucapan, coklat dan hadiah kepada kekasih.

Tahun lalu, Presiden Mamnoon Hussain mendesak rakyat Pakistan tidak meraikan hari berkenaan yang menurutnya bukan budaya masyarakat di negara majoriti Islam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Februari 2017 @ 7:38 AM