Agensi

JAKARTA: Rakaman video calon Naib Presiden untuk Presiden Jokowi, Ma’ruf Amin menyatakan kekesalannya terbabit dalam kes bekas Gabenor Jakarta Basuki “Ahok” Tjahaja Purnama yang kini dipenjarakan kerana menghina Islam, mencetuskan perdebatan di Indonesia, terutama di laman sosial.

“Ya, sudah tentu (menyesal). Saya terpaksa melakukannya. Saya tidak mahu memenjarakan sesiapa, saya tidak mahu.

“Namun, saya perlu melakukannya kerana ketika itu saya dalam proses menegakkan undang-undang.

“Saya tidak berdaya melakukan apa-apa walaupun bersimpati dengannya.

“Saya terus memohon maaf selepas itu. Saya tidak mahu mengganggu sesiapa,” katanya dalam temuramah 48 saat dengan IDN Times.

Kenyataan Ma’ruf terhadap isu yang masih kontroversi meskipun selepas beberapa tahun, mencetuskan perdebatan di media sosial.

Jakarta Post melaporkan, ahli sejarah, JJ Rizal berkata, pengakuan Ma’ruf itu menunjukkan bahayanya permainan politik di Indonesia.

“Saya sedih menonton video itu. Ini adalah contoh hilangnya integriti, kegagalan mempertahankan apa yang betul dan hilangnya maruah dan prinsip kejujuran.

“Ia pengakuan jelas menunjukkan bahayanya dunia politik kita,” katanya melalui Twitter yang sudah disebarkan 1,600 kali dengan 1,200 ‘likes’ sejak minggu lalu.

Anak Ma’ruf, Ahmad Syauqi berkata, pengakuan bapanya itu bagi menjelaskan kedudukannya sebagai Pengerusi Majlis Ulama Indonesia (MUI) ketika memberi keterangan dalam perbicaraan Ahok.

“Beliau maksudkan apa yang dilakukannya bukan kehendak diri tetapi tanggungjawab melaksanakan undang-undang, malah beliau tidak menentang Ahok.

“Ketika itu, undang-undang perlu dilaksanakan terhadap kesalahan, bukan terhadap Ahok sebagai individu,” katanya yang disiarkan tempo.co.

Pegawai kanan pasukan kempen Jokowi, Hasto Kristiyanto berkata, kenyataan Ma’ruf itu bagi menjelaskan kedudukannya sebagai Pengerusi MUI dan ulama.

“Kenyataannya menunjukkan belia ulama yang sentiasa menjawab soalan wartawan, manakala (pasangan lawan Prabowo Subianto-Sandiaga Uno) sering buruk sangka kepada media,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 January 2019 @ 6:45 AM