SHEILA risau industri dipenuhi pelakon baru hanya kejar populariti, enggan belajar.
SHEILA risau industri dipenuhi pelakon baru hanya kejar populariti, enggan belajar.
Oleh Ardini Sophia Sina


Sebagai orang lama dalam industri, pasti Sheila Mambo antara pelakon yang merasai aliran perkembangan dunia seni di Malaysia. Selok-belok dunia lakonan sebati dengan dirinya dan se-ring pula bekerja dengan pelakon baru.

Bertemu di lokasi drama Beli Adik baru-baru ini, Sheila atau Rusilawati Hasan mengakui berdepan pelbagai ragam pendatang baru. Ada yang berbakat dan menghargai peluang diberi, tidak kurang juga sebaliknya.

Kadangkala timbul kesukaran bekerja dengan pelakon baru. Tidak semua, tetapi ada segelintir. Sepanjang menjalani penggambaran, mereka menganggap perkara itu remeh.

"Bagi mereka, lakonan hanya setakat datang lokasi, beraksi depan kamera dan apabila semua selesai, boleh balik ke rumah. Mereka tidak mendalami watak diberi. Itu menjadi satu punca lakonan mereka kelihatan kaku," katanya.

Pengalaman luas sebagai pelakon mungkin memberi kelebihan buat Sheila untuk memberi teguran. Bagaimanapun, katanya, dia kecewa apabila ada antara mereka tidak boleh menerima nasihat.

"Sebelum memberi nasihat atau teguran, saya terlebih dulu akan melihat keadaan dan sikap individu berkenaan. Andai dia jenis yang suka belajar, mudah bagi saya memberi pandangan bagi memperbaiki lakonan mereka.

"Tanggapan kita pendatang baru akan lebih suka untuk belajar dan mudah menerima teguran tetapi tidak semua mereka mempunyai sikap terbuka seperti itu. Ada yang apabila ditegur, mereka menangis kerana marah dan sakit hati dengan nasihat kita.

"Saya juga pelik dengan pelakon baru sekarang. Muka ada, cantik atau kacak tetapi bakat kurang. Berlakon ini kita boleh belajar. Apalah salah kalau kita keluarkan duit untuk menghadiri kelas lakonan.

"Sekarang ada banyak kemudahan yang boleh meningkatkan lagi keyakinan serta kualiti lakonan. Ada kelas yang boleh kita masuk bagi mengasah asas sebagai pelakon. Perkara seperti itu penting kalau mahu kekal lama dalam industri," katanya.

Jelas Sheila, andai satu babak saja lebih 10 kali terpaksa dilakonkan semula, dia berasa satu tanggungjawab untuk menegur dan menerangkan perkara yang sepatutnya perlu dilakukan. Dia hanya setakat membimbing dan selebihnya harus dilakukan sendiri pelakon berkenaan.

Sheila menasihatkan pendatang baru supaya menghadiri kelas lakonan sebelum melangkah terlalu jauh dalam industri seni. Dia juga mengharapkan keterbukaan mereka untuk menerima teguran.

"Teguran dan nasihat diberi untuk kebaikan dan bukan memperlekehkan bakat yang mereka ada. Sepatutnya teguran dijadikan pedoman untuk bergelar pelakon hebat. Ini tidak, ada yang memberontak dan terus hilang 'mood' sepanjang penggambaran.

"Pelakon tidak boleh terlalu mengharapkan kelas lakonan ketika di lokasi. Untuk menjadi pelakon hebat, usaha itu harus ada. Jangan salahkan pengarah garang. Tengok kelemahan diri sendiri.

"Memang patut pengarah marah kerana lakonan mereka tidak memenuhi kehendak pengarah. Saya nasihatkan sesiapa saja yang berniat menjadi pelakon, harus sekurang-kurangnya mempunyai asas lakonan," katanya.

Kata Sheila, dia risau industri akan dipenuhi pelakon yang hanya mengejar populariti semata-mata dan memandang mudah kualiti lakonan.

"Penggiat seni seharusnya menilai seseorang itu sebelum mengambil mereka berlakon dan bukan main ambil saja," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 Februari 2015 @ 5:01 AM