DARI kiri Ellie, Sheila, A Aida dipilih menjadi juri pada penganjuran DFKL 2017 di Pahang.
DARI kiri Ellie, Sheila, A Aida dipilih menjadi juri pada penganjuran DFKL 2017 di Pahang.
ANTARA peserta yang terpilih ke peringkat seterusnya.
ANTARA peserta yang terpilih ke peringkat seterusnya.
BARISAN selebriti popular yang menjayakan DFKL 2017.
BARISAN selebriti popular yang menjayakan DFKL 2017.
Najiy Jefri

Seramai 116 peserta menghadiri uji bakat lakonan sempena jelajah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 di Berjaya Megamalll Kuantan, Pahang baru-baru ini.

Sesi uji bakat yang dikendali penerbit popular, Sheila Rusly dan Ellie Suriati bersama pegawai stesen TV3 serta TV9 itu turut berkongsi petua menjadi pelakon yang baik dan kepentingan mengikuti bengkel DFKL 2017 bagi mencari ilmu serta memantapkan asas lakonan mereka.

Antara artis yang turut serta dalam siri jelajah pertama itu ialah Shukri Yahaya, Shafiq Kyle, Mawar Rashid, Syazuwan Hassan DFKL, Acap Tokan, Zee Tokan dan Shah Tapaw. Selain itu, acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran duta DFKL 2017 iaitu Raja Afiq DFKL.

Lebih menarik, memasuki tahun keempat penganjuran DFKL 2017 dengan tema Cerita Kita, siri jelajah yang berlangsung selama dua hari dari jam 10 pagi hingga 6 petang baru-baru ini mendapat sambutan luar biasa.

Apa tidaknya, ada peserta yang sanggup datang dari Kuala Lumpur, Perak, Kelantan dan Terengganu semata-mata mahu mencuba nasib bergelar pelakon.

Menurut Pengurus Besar Kumpulan Jenama dan Rancangan TV3 dan TV9 Siti Nurlissia Mohd Nadzri, pihaknya sangat berpuas hati dengan sambutan orang ramai.

“Sepanjang pemerhatian kami, ramai peserta berbakat walaupun mereka tiada asas lakonan. Selama dua hari berkampung di sini kami berjaya menyenarai pendek 13 peserta daripada 116 yang mendaftar.

“Selain uji bakat lakonan, kami juga menyediakan peluang baru iaitu penulisan skrip kendalian Datuk A Aida sekiranya peserta ada idea menarik dan kreatif untuk diterbitkan sebagai drama.

“Mereka juga berpeluang mempelajari asas industri seni melalui bengkel dan kelas yang bakal berlangsung pada 1 dan 2 April ini di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur,” katanya.

Siti Nurlissia berkata, peserta juga perlu mempersiapkan diri teutama dari segi mental selain memiliki pakej lengkap sebagai persediaan awal sebelum menjalani uji bakat yang diadakan.

Ini kerana TV3 dan TV9 ada banyak slot drama serta telefilem yang memerlukan ramai bakat baharu.

“DFKL menyediakan pentas kepada bakat baharu untuk menonjolkan diri kepada syarikat produksi tempatan selain memberi pendedahan mengenai kerja belakang tabir.

“Insya-Allah program ini akan dijadikan acara tahunan dan dikembangkan sehingga ke negara lain di Asia Tenggara.

“Mereka yang berminat menyertai bengkel DFKL (Pengarahan, Penulisan Skrip, Lakonan dan Komposisi Muzik) boleh melayari laman sesawang rasmi DFKL iaitu www.dfkl.com.my,” katanya.

Sheila pula menyifatkan peserta kali ini semakin berani dan ramai berjaya menarik perhatiannya.

“Daripada pemerhatian saya, mereka berani dan bersedia melontarkan dialog yang diberi. Selalunya bukan mudah untuk cari bakat baru dan ia memakan masa tetapi pada hari pertama jelajah ini saya sudah dapat beberapa bakat yang boleh dilamar untuk bekerja dengan JS Pictures.

“Bagi saya, peserta yang terpilih hanya perlu didedahkan dengan teknik asas lakonan dan mereka boleh pergi jauh,” katanya.

Kata Sheila, sepanjang dua hari pencarian dia sangat teliti dan cerewet.

“Selain berani, mereka juga mestilah bijak kerana bidang ini bukan main-main. Saya juga mahu mengubah persepsi orang ramai sesiapa sahaja boleh jadi pelakon.

“Hakikatnya pelakon perlu bijak dan pantas berfikir serta bertindak ketika penggambaran. Mereka perlu fokus dengan watak sekiranya tidak mahu dilabel ‘kayu’,” katanya.

Bagi mereka yang terlepas uji bakat di Kuantan, Pahang, masih ada peluang mencuba nasib di bengkel DFKL2017 di Angsana Johor Bahru Mall, Johor Bahru pada 4 Mac ini serta di Sunway Putra Mall, Kuala Lumpur (11 dan 12 Mac).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2017 @ 5:03 AM