PEMAIN beregu wanita negara Pei Kee (kiri) dan Mei Xing menghadiahkan mata tunggal skuad Piala Uber. FOTO Bernama
PEMAIN beregu wanita negara Pei Kee (kiri) dan Mei Xing menghadiahkan mata tunggal skuad Piala Uber. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Impian pemain wanita negara untuk meraih kemenangan ke atas Taiwan dalam aksi pembukaan Kumpulan B, Piala Uber tidak kesampaian apabila tewas 1-4 kepada Taiwan.

Namun usaha keras barisan pemain wajar diberikan pujian apabila beregu wanita negara Go Pei Kee-Teoh Mei Xing berjaya mencuri satu mata menjadi tiga perlawanan awal tampak seimbang.

Seperti yang diduga, Goh Jin Wei gagal menghalang kebangkitan pemain wanita Taiwan yang menghuni ranking kelima dunia, Tai Tzu Ying apabila tewas 19-21, 20-22 dalam pertarungan selama 33 minit.

Namun kapten pasukan Mei Xing bersama Pei Kee menghadiahkan khabar gembira buat kem negara apabila menang 21-19, 21-17.

Ia turut dianggap kejutan apabila Mei Xing-Pei Kee yang berkedudukan ranking ke-279 dunia berjaya mengetepikan cabaran beregu Taiwan, Lin Wang Ching-Hsu Ya Ching yang berada di ranking ke-24 untuk mengikat kedudukan menjadi satu sama.

Beraksi di Gimnasium Pusat Sukan Zon H-Tech, Chengdu, China, Mei Xing berkata, dia perlu kekal fokus selepas Jin Wei tewas agar pemain yang lain terus bersemangat.

"Saya rasa, saya perlu kekal fokus dan beri yang terbaik kerana sangat penting sebab pasukan ini semuanya junior dan kali pertama bermain di Uber.

"Kalau lawan mendahului 1-0 atau 2-0, mereka akan memasuki gelanggang dengan perasaan lebih gemuruh.

"Jadi kalau kami dapat mata, ia sesuatu yang bagus untuk melonjakkan semangat pasukan," kata Mei Xing.

Kebangkitan beregu wanita negara itu bagaimanapun gagal dituruti oleh K Letshanaa yang turun pada perlawanan ketiga.

Letshanaa cuba memberikan cabaran bagaimanapun terpaksa akur apabila tewas dalam pertarungan tiga set 21-13, 17-21, 16-21 sebelum beregu kedua negara, Ho Lee Ee-Tan Zhing Yi turut kecundang di tangan Hu Ling Fang-Teng Chun Hsun 17-21, 11-21.

Manakala perseorangan ketiga negara Wong Ling Ching yang turun melengkapkan jadual tewas kepada Sung Shuo Yun 17-21, 20-22.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 1:51 PM