TERUS aktif terbit drama.
TERUS aktif terbit drama.
Oleh Nor Akmar Samudin


Sekembalinya pelakon, pengacara dan penerbit drama, Sheila Rusly, 44, dari mengerjakan haji pada 2007, dia dikatakan sombong dan lupa kawan.

Bagaimanapun tegasnya, dia bukanlah seperti yang diperkatakan cuma ketika itu dia hanya memperlahankan rentaknya dalam dunia lakonan dan mengurangkan penampilannya dalam media kerana mahu memberi tumpuan kepada syarikat produksi, JS Pictures, yang diusahakan bersama suami Jinggo.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata ini, bukan mudah untuk mereka membina perniagaan yang kini sudah berusia 10 tahun, apatah lagi wanita yang masih anggun dan bergaya itu sangat mementingkan kesempurnaan.

“Saya berlakon sejak berusia 15 tahun dan saya sudah merasa segalanya. Sudah sampai masanya saya mengetengahkan bakat baru kerana industri sangat memerlukan wajah-wajah yang segar untuk digilap bagi menceriakan lagi dunia hiburan tempatan.

“Sebagai anak seni, pasti saya belum puas beraksi, tetapi kesibukan menguruskan JS Pictures mengehadkan kemunculan saya di skrin TV, selain terpaksa memilih naskhah dan selebihnya selesa berlakon dengan produksi sendiri.

“Zaman saya sudah berlalu. Lagi pun saya tak mahu orang bercakap mengenai saya, ‘dia terbitkan drama, dia juga nak berlakon dan bergambar sana sini’. Oleh itu lebih baik saya ‘lepaskan’ kepada orang baru. Pun begitu saya tidak pernah melupakan media dan saya sentiasa perlukan sokongan mereka,” katanya.

Dalam perbualan dengannya juga, kata Sheila, dia bersyukur kerana stesen TV terus memberi kepercayaan kepada JS Pictures menerbitkan drama untuk Ramadan hampir setiap tahun.

Selama 30 tahun berada dalam arena seni, dia juga sudah menimba pengalaman yang begitu luas dalam bidang pengacaraan terutama dalam program terbitannya sendiri Ketuk-Ketuk Ramadan dan dia juga sudah menerbitkan 12 buku masakan.

Dalam perkembangan lain, Sheila juga muncul dengan produk pewanginya sendiri yang dilancarkan, baru-baru ini.

“Saya tak mahu jual pakaian Muslimah dan tudung kerana sudah terlalu ramai yang berkecimpung dalam perniagaan itu. Ada juga yang berniaga pewangi, tetapi saya yakin dengan produk ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Disember 2015 @ 12:22 PM