SAINZ tidak berani menilai prestasi semasanya sebelum meninggalkan Ferrari. FOTO AFP
SAINZ tidak berani menilai prestasi semasanya sebelum meninggalkan Ferrari. FOTO AFP
Agensi

London: Carlos Sainz tidak tahu sama ada dia berada pada tahap 'terbaik' dalam perlumbaan Formula Satu (F1) tahun ini, dengan pemandu Ferrari itu menonjolkan faktor berbeza yang menyukarkan untuk menentukan tahap prestasinya.

Pemandu kelahiran Sepanyol itu, akan meninggalkan pasukan berpangkalan di Itali pada penghujung musim dengan Lewis Hamilton menggantikannya.

Berita itu diumumkan sebelum permulaan musim 2024, yang disambut baik oleh pemandu berusia 29 tahun itu berdasarkan prestasinya di litar.

Walaupun dia terlepas Grand Prix (GP) Arab Saudi kerana serangan apendiks, Sainz mendapat dua penamat podium dan satu kemenangan dalam empat pusingan yang disertainya.

"Adakah saya berada pada tahap terbaik saya? Saya tidak tahu," jawabnya kepada media termasuk RacingNews365 apabila ditanya pada Grand Prix (GP) China sama ada prestasi semasanya adalah yang tertinggi sepanjang karier di F1.

"Pastinya, ia adalah permulaan terbaik saya untuk musim ini sejak saya menyertai Ferrari, saya fikir bukan rahsia.

"Ia satu perkara yang sukar untuk dijawab. Jelas sekali, ia kelihatan seperti itu kerana podium akan datang, dan keputusan menunjukkan prestasi semasa saya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 2:16 PM