SAHARUL letak sasaran genggam anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diadili juri profesional bertauliah.
SAHARUL letak sasaran genggam anugerah Pelakon Lelaki Terbaik diadili juri profesional bertauliah.
Amirul Haswendy Ashari


Bertemu Saharul Ridzwan pada sesi fotografi minggu lalu, Selebriti Metro Ahad berpeluang bertanya lebih lanjut mengenai impian dan cita-citanya yang belum digapai.

Mula dikenali melalui Love You Mr Arrogant, Saharul akui sama sekali tidak menyangka boleh menang. Sebab itulah ketika berucap di pentas sampai tersasul sebut nama kucing.

“Anugerah ini saya terima hasil undian peminat. Ini membuktikan mereka menyokong lakonan saya selama ini.

“Saya anggap ia satu penghargaan buat saya. Tidak pernah terlintas pasal anugerah sebab masuk industri nak cari rezeki. Saya berterima kasih kepada pelakon senior yang banyak membantu, terutama memberi ilmu lakonan,” katanya gembira.

Jauh di sudut hati, Saharul akui pernah menaruh impian sekurang-kurangnya dapat menggenggam anugerah Pelakon Lelaki Terbaik.

Katanya, anugerah itu dilihat lebih tinggi sebab ia diadili juri profesional bertauliah yang mempunyai kepakaran dalam bidang seni lakonan.

“Bukan bermakna juri SMS atau penonton itu tiada tauliah. Bezanya, orang yang mahir dalam ilmu lakonan dengan orang melihat adalah berbeza.

“Contohnya kalau nak jadi doktor, kena pergi peperiksaan profesional yang disediakan,” katanya.

Saharul bersyukur sebab dikelilingi ramai ‘guru’, terutama ketika berada di set penggambaran. Tanpa prejudis, dia menganggap semua pengarah, baik baru atau lama ialah guru terbaik.

Malah tanpa segan silu, dia juga sering mendapatkan nasihat daripada pelakon hebat lain seperti Azhan Rani yang dianggap ‘sifu’ dalam lakonan drama.

Biarpun dikelilingi ramai guru lakon, Saharul tetap menyimpan impian untuk masuk ke kelas lakonan.

Katanya, ada yang berpendapat pelakon tidak perlu ke kelas lakonan kerana mereka boleh saja pelajarinya di set penggambaran seperti dilakukannya sekarang.

Tapi dia sedar apabila bergaul dengan orang yang ada ilmu lakonan, banyak terma dalam bidang lakonan yang belum lagi diterokanya.

“Apabila bergaul dengan mereka, saya selalu dengar perkataan sosiologi, sub-teks, metodologi dan sebagainya. Jadi, saya terfikir untuk ke kelas dan sudah bertanya pada Ellie Suriaty dan Namron.

“Mereka tidak buka kelas lakonan tapi bersedia untuk bantu saya. Saya perlu asas yang kukuh, bak kata orang, macam mana nak bina rumah jika asas tak kukuh?” katanya berkias.

Peluang tunjuk bakat di layar perak

Dia pernah dikritik apabila berlakon di pentas teater sehingga ada mengatakan dirinya belum bersedia ke pentas teater. Enggan melatah dengan kritikan itu, Saharul ambil teguran itu secara positif.

Sejak itu dia percaya hanya kelas lakonan yang dapat membantu proses kematangan. Saharul akui belum mendapat kepuasan dalam lakonan, terutama dari segi tawaran watak dan karakter yang berbeza.

Sering memegang watak romantis, lelaki baik atau egois, Saharul belum berpeluang menyuntik elemen aksi dalam lakonannya.

Katanya, ia bukan bermakna dia kini melakukan tapisan dalam tawaran, cuma perlu lebih bijak untuk mempelbagaikan karakter diberi.

“Semua watak ada cabaran dan segala-galanya bergantung kepada cara kita untuk membawa watak itu dengan baik. Saya kena tahu untuk pelbagaikan lagi lakonan.

“Saya ada tanya pelakon lama, apa harus saya lakukan jika asyik diberi watak hampir sama sahaja. Mereka pesan, saya kena bawa dengan cara berbeza.

“Ambil contoh watak saya sebagai ustaz dalam Seindah Takdir Cinta, saya juga pernah pegang watak ustaz dalam Ustaz Klon. Disebabkan itu, saya kena bezakan lakonan dengan banyak berbincang dengan pengarah,” katanya.

Pelakon drama bersiri Seindah Takdir Cinta yang kini disiarkan di TV3 menerusi slot Akasia akui kerjasama pasukan sangat penting dalam produksi.

Katanya, bukan saja dengan pengarah malah kru lain sebab mereka juga penyumbang terbesar dalam kejayaan produksi drama atau filem.

“Saya tidak mahu stereotaip dan kemenangan di DFKL2016 membuatkan saya perlu lebih versatil. Saya juga berharap untuk beraksi di layar perak selepas ini.

“Saya baru saja dapat tawaran berlakon filem yang dijangka menjalani penggambaran hujung tahun ini. Saya diberi watak orang kurang upaya (OKU) dan berharap ia menjadi batu loncatan untuk ke tahap lebih tinggi.

“Yalah, sampai bila saya nak terus berlakon drama saja. Bukan bermakna saya sudah tidak mahu berlakon drama, cuma sebagai pelakon, saya kena ada satu lonjakan,” katanya.

Selain drama Seindah Takdir Cinta, dia juga bakal muncul dalam drama bersiri Assalamualaikum Cinta (untuk Astro) dan telefilem Kau, Aku, Kita Raya.

Saharul juga baru saja dilantik sebagai duta bedak sejuk AISA Mask dan ikon kanta lekap Leon Lense.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 Mac 2016 @ 5:01 AM