NURUL Janna Munir.
NURUL Janna Munir.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Pelakon baru, Janna Nick, 20, yang mencipta nama menerusi drama slot Akasia, Syurga Nur mula menjadi buah mulut penggiat industri.

Janna atau nama sebenarnya Nurul Janna Munir, dikatakan mula berlagak diva dan bermulut lancang.

Sikap Janna itu dilaporkan menerusi ruangan gosip Cik Pang dalam Metro Ahad, 16 Ogos lalu.

Janna ketika dihubungi bagaimanapun menafikan perkara itu.

“Mereka yang mengenali dan rapat dengan saya mesti lebih tahu. Saya bukan seperti yang diperkatakan.

“Kalau tanya rakan artis lain yang pernah bekerja dengan saya, mesti mereka berkata perkara sama.

“Dakwaan terbabit tidak benar. Saya tak pernah ada masalah di lokasi. Saya sentiasa menjaga disiplin dan menepati masa, malah menjaga hubungan baik dengan kru dan pelakon lain,” katanya.

Pun begitu Janna tidak menafikan suka bergurau kasar namun bertempat mengikut keselesaan orang sekelilingnya.

“Mungkin ada yang salah faham bila lihat saya bergurau kasar. Biasanya dengan kawan-kawan rapat saja. Kalau baru pertama kali jumpa saya tak banyak cakap.

“Itu tak bermakna saya sombong. Apabila sudah kenal, saya jadi lebih mesra,” katanya.

Jelas Janna, dia selesa berkawan dengan sesiapa sahaja dan sedia menerima teguran dengan hati terbuka.

“Saya terkilan apabila timbul cerita tidak sedap didengar seperti ini. Saya masih baru dalam bidang ini, sedikit sebanyak ia boleh memberi kesan terhadap kerjaya.

“Apapun, saya tidak cepat melatah sebaliknya reda. Biarlah dilontarkan pelbagai fitnah, selagi ia tak betul saya diamkan saja,” katanya.

Enggan terlalu memikirkan perkara itu, Janna menumpukan sepenuh perhatian terhadap karier.

Terbaru, Janna kembali bekerjasama dengan JS Pictures menerusi drama Kau Aku Kita untuk slot Lestary TV3 dan bergandingan dengan Syarul Ridzwan.

“Kak Sheila selalu pesan, kalau mahu jadi pelakon berjaya kena komited. Saya mahu kekal lama dalam industri dan kerana itu perlu pertingkatkan mutu lakonan dari semasa ke semasa.

“Lokasi penggambaran jadi sekolah saya. Saya percaya kalau lakonan kita bagus pasti ada yang ambil kita berlakon,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2015 @ 10:25 AM