TUNKU Ismail (tengah) bersama Vicente (dua dari kiri) di Stadium Larkin.
TUNKU Ismail (tengah) bersama Vicente (dua dari kiri) di Stadium Larkin.
Oleh Rizar Mohd Noor


Johor Bahru: Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) terus memperkasakan program pembangunan bola sepak negeri apabila bakal mengadakan kerjasama dengan kelab La Liga Valencia CF dari Sepanyol dalam masa terdekat ini.

Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang menerima kunjungan Ketua Pegawai Komersial dan Pemasaran Valencia CF Luis Vicente, semalam berkata, usaha sama dengan kelab berpangkalan di Sepanyol itu akan dilaksanakan tidak lama lagi terutama membabitkan soal pembangunan di peringkat akar umbi.

Tunku Ismail menambah hasil kerjasama itu tidak akan dapat dilihat sekelip mata dan selain program pembangunan, kelab itu juga akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Johor DT.

“Selepas membuat kerjasama dengan Borussia Dortmund dan kami juga akan bekerjasama dengan Manchester City tidak lama lagi, kini kelab Valencia CF turut berminat untuk mengadakan program serupa.

“Saya lihat ia langkah proaktif PBNJ untuk meningkatkan mutu bola sepak di Johor terutama pembangunan akar umbi yang menjadi tumpuan utama saya bagi memastikan pemain remaja mendapat pendedahan terbaik daripada kelab ternama Eropah.

“Kita juga akan merancang kerjasama program pertukaran pemain dan jurulatih dengan kelab berkenaan dan ia lebih terarah kepada membekalkan pengalaman baru buat pemain muda dan jurulatih di Johor,” kata Tunku Ismail ketika ditemui di Stadium Larkin, semalam.

Tunku Ismail bukan saja menumpukan kepada skuad Johor DT yang bersaing di Liga Super sebaliknya penekanan turut diberikan kepada pembangunan bola sepak yang menjadi agenda utama dalam usaha memartabatkan bola sepak di negeri berkenaan.

Sementara itu, Vicente teruja dengan usaha dilakukan Tunku Ismail terutama membabitkan soal kelengkapan pusat latihan di Padang Seri Gelam dan kerja baik pulih stadium yang kini rancak dilaksanakan sebelum saingan Liga Malaysia bermula, hujung bulan ini.

Beliau berkata, Valencia bersedia untuk bekerjasama dengan PBNJ dan yakin akan dapat membantu membangunkan bola sepak negeri, sekali gus memberi manfaat terhadap kemajuan bola sepak Asia serta Eropah.

“Kerjasama ini penting kerana kami dapat bertukar pandangan dan turut belajar daripada apa juga perancangan yang difikirkan terbaik, sekali gus memberi peluang kepada kelab Valencia CF untuk meraih pengalaman bersama PBNJ,” kata Vicente.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 7:19 AM