Tunku Ismail,  Riedle (tengah) dan  Cramer (kanan)  pada Majlis Perasmian Jalinan Usaha Sama Johor DT dan  Dortmund di Stadium Larkin, semalam.
Tunku Ismail, Riedle (tengah) dan Cramer (kanan) pada Majlis Perasmian Jalinan Usaha Sama Johor DT dan Dortmund di Stadium Larkin, semalam.
Oleh Rizar Mohd Noor

Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) mengorak langkah pro-aktif bagi pembangunan peringkat akar umbi apabila menjalani kerjasama dengan kelab ternama Bundesliga, Borussia Dortmund, semalam.

Kerjasama itu mampu meletakkan nama Johor Darul Ta’zim (Johor DT) selaku pasukan pertama di Asia menjalin kerjasama dengan kelab terkemuka Jerman itu, sekali gus membuktikan kesungguhan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim menitikberatkan pembangunan akar umbi.

Tunku Ismail yang juga Presiden PBNJ berkata, kerjasama dengan Borussia Dortmund itu akan membabitkan perancangan jangka panjang yang lebih tersusun terutama dalam mendidik pemain remaja berusia antara lapan hingga 16 tahun mengenai aspek taktikal bola sepak.

“Bukan saja pemain remaja akan mendapat manfaat malah jurulatih berkelayakan di Johor juga akan diberi pendedahan dengan kelab berkenaan.

“Ia kerjasama jangka panjang, justeru saya tidak menjangkakan pencapaian segera sebaliknya akan mendapat hasil tidak lama lagi,” kata Tunku Ismail dalam sidang media selepas Majlis Perasmian Jalinan Usaha Sama Johor DT dan Borussia Dortmund yang diwakili Pengarah Pemasaran dan Jualan, Carsten Cramer di Stadium Larkin, semalam.

Turut hadir, Ketua Pembangunan Belia Edwin Boekamp, jurulatih belia Andreas Barth dan legenda bola sepak Jerman Karl-Heinz Riedle yang kini menjadi Duta Antarabangsa Borussia Dortmund.

Tunku Ismail juga menegaskan Gary Steven Robbat menjadi perintis menjalani latihan bersama kelab berkenaan dan pemain itu yang mendapat pendedahan terbaik dijangka kembali bulan depan.

Sementara itu, Cramer berkata, kelab itu akan mengadakan perlawanan persahabatan menentang Johor DT pada Julai nanti.

“Saya sudah berbincang dengan Tunku Ismail dan akan membawa pasukan utama Borussia Dortmund untuk perlawanan persahabatan antara 5 Julai hingga 15 Julai, bergantung kepada jadual perlawanan di Eropah.

“Selepas melihat sendiri infrastruktur dan pusat latihan Johor DT, saya amat kagum kerana dalam tempoh tiga tahun selepas Tunku Ismail mengambil alih pucuk pimpinan PBNJ, segala kelengkapan nyata bertaraf dunia yang jelas menunjukkan kesungguhan Tunku Ismail mahu memajukan bola sepak negeri ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:31 AM