Johor Bahru: Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) dan kelab Bundesliga, Borussia Dortmund sah memeterai kerjasama bagi membangunkan program pembangunan bola sepak di negeri itu.

Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, Dortmund juga mengesahkan kehadiran pasukan itu untuk mengadakan perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta’zim (Johor DT) di Stadium Larkin, Julai ini.

Katanya, kelab itu pada awalnya mahu mengadakan perlawanan persahabatan di Singapura, namun memilih Johor Bahru sebagai destinasi perlawanan itu.

“Kerjasama dengan Dortmund akan dilaksanakan selama setahun, tapi ia projek jangka masa panjang dan kepakaran kelab itu terutama program pembangunan bola sepak dengan kehadiran jurulatih mereka membantu PBNJ mengadakan program pembangunan.

“Sebelum ini, Pengarah Pembangunan Belia kelab Edwin Boekamp sudah mengadakan lawatan dan melihat sendiri kelengkapan infrastruktur dan keadaan padang terutama di Stadium Larkin dan pusat latihan di Padang Seri Gelam dan beliau berpuas hati.

“Dengan termeterai kerjasama ini, kelab itu akan menghantar jurulatih untuk mengadakan latihan terutama pemain muda selain memberi taklimat kepada jurulatih yang mengendali skuad Piala Presiden dan Belia,” kata Tunku Ismail.

Beliau berkata, kepakaran kejurulatihan dari kelab itu akan digunakan sebaik mungkin di akademi bola sepak dan setiap daerah di negeri itu selain mencari pemain muda berbakat.

Tunku Ismail menegaskan, beberapa pemain Johor Darul Ta’zim II (JDT II) dan Johor Darul Ta’zim IV (JDT IV) sudah dikenalpasti untuk diberi peluang menjalani latihan di Dortmund tidak lama lagi.

“Pemain yang terpilih akan menjalani latihan di kelab itu selama enam bulan atau setahun.

“Saya ingin memaklumkan kelab juara Liga Perdana Inggeris, Manchester City juga berminat untuk bekerjasama dengan PBNJ dan wakil kelab itu akan mengadakan pertemuan di sini pada 12 Januari ini,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 January 2015 @ 6:11 AM