AH Choy menunjukkan rumah pengeringan bawang di ladangnya di Kampung Ladang Bikam, dekat Sungkai di sini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
AH Choy menunjukkan rumah pengeringan bawang di ladangnya di Kampung Ladang Bikam, dekat Sungkai di sini. FOTO MUHAMAD LOKMAN KHAIRI
Oleh Muhamad Lokman Khairi


Tanjung Malim: Kejayaan petani bawang tempatan pertama di Kampung Ladang Bikam, dekat Sungkai, di sini dalam projek rintis sayuran menjadikan Perak sebagai negeri terawal pengeluar bawang merah secara komersial.

Projek di kawasan seluas satu hektar berkenaan sudah dituai dua kali mengikut fasa penanaman masing-masing membuahkan hasil 2.3 tan serta satu tan pada 3 dan 17 April lalu.

Berkongsi kisah penglibatan awal sebagai petani bawang, Tan Cheng Choy, atau mesra disapa Ah Choy, 56, berkata, dia dipelawa Jabatan Pertanian hujung tahun lalu untuk menguji penanaman bawang varieti BAW-1 dan BAW-2 yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).

"Satu per tiga bahagian atas bawang dipotong dan digaul dengan racun kulat untuk mengelakkan jangkitan kulat.

"Jarak penanaman disyorkan oleh pihak Mardi adalah 15 sentimeter (cm) x 15 cm. Penanaman bawang memerlukan pembajaan NPK 15:15:15 dengan kawalan air yang teliti," katanya.

Menurutnya, penyiraman perlu dihentikan seminggu sebelum tarikh tuaian bagi mengelakkan bawang dihasilkan menjadi busuk dan rosak.

Bercerita lanjut, Ah Choy berkata, sebanyak 75 batas disediakan bagi projek tiga fasa penanaman, didahului fasa pertama menggunakan 1.5 tan benih bebawang pada 24 Januari lalu.

Katanya, fasa kedua menggunakan 0.25 tan benih bebawang pada 8 Februari dan fasa ketiga ditanam pada 16 Februari menggunakan 161 dulang anak benih bawang.

"Tanaman menggunakan benih bebawang mengambil tempoh masa selama 65 hingga 75 hari sebelum hasil boleh dituai, manakala jika anak benih, masa ialah 75 hingga 85 hari selepas dipindahkan dari dulang semaian.

"Hasil tuaian dikeringkan di dalam rumah pengeringan bawang selama tujuh sehingga 10 hari bergantung cuaca persekitaran," katanya memaklumkan tanaman bawang fasa ketiga akan dituai pada 1 Mei nanti, bergantung kepada keadaan pokok.

Ah Choy berpengalaman selama 30 tahun dalam penanaman sengkuang sebelum ini, berterima kasih kepada Jabatan Pertanian atas kepercayaan diberi termasuk bimbingan dalam projek sulung sedemikian.

Ujarnya, dia berbangga dalam menyumbang tenaga dalam agenda keterjaminan makanan bagi mengurangkan kebergantungan terhadap bawang import.

Jabatan Pertanian adalah antara peneraju flagship Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan) dalam pelan pembangunan Perak Sejahtera 2030 cetusan idea Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mei 2024 @ 7:02 AM