Dortmund: Kesudian kelab Bundesliga, Borussia Dortmund (BVB) beraksi pada perlawanan persahabatan menentang Johor Darul Ta'zim (Johor DT) di Stadium Larkin, 9 Julai depan jelas membuktikan betapa kelab ternama Jerman itu mengiktiraf usaha Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) melaksanakan program pembangunan bola sepak.

Presiden PBNJ Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, perlawanan itu diadakan sempena Jelajah Asia kelab berkenaan dan ia dianggap simbolik sebagai tanda kerjasama rapat antara Johor DT dan BVB yang tampak seiring bagi melaksanakan program pembangunan akar umbi.

“Ia cukup unik dan simbolik malah membuktikan apa yang dilakukan PBNJ terutama program pembangunan bola sepak diiktiraf kelab ternama dari Jerman itu dan saya amat gembira aksi persahabatan itu nanti menjadi realiti.

“Saya juga mengadakan perjumpaan dengan pengurusan kelab berkenaan di Dortmund beberapa hari lalu dan kata sepakat terjalin selepas kejurulatihan kelab berkenaan menerima pelawaan untuk membimbing skuad Bawah 13 tahun selain Johor DT III.

“Malah pada aksi persahabatan itu nanti BVB bakal menurunkan kesebelasan terbaik untuk berdepan Johor DT dan komitmen yang ditunjukkan pengurusan kelab berkenaan amat memuaskan,” katanya.

Mengenai harga tiket yang bakal dijual kepada penonton bagi menyaksikan perlawanan yang bersejarah buat Johor DT itu, Tunku Ismail berkata segala urusan penjualan tiket itu diserahkan kepada unit pemasaran Johor Southern Tigers yang akan bekerjasama dengan Borussia Dortmund.

Tunku Ismail menambah, kerjasama dengan BVB adalah projek jangka panjang yang mampu menjelmakan pendekatan lebih profesional selain PBNJ dapat mempelajari lebih mendalam mengenai pembangunan bola sepak akar umbi yang menjadi keutamaan kelab BVB.

Katanya, PBNJ akan membina pusat latihan ‘footbolnaut’ dalam masa terdekat dan pusat latihan itu dapat memberi manfaat kepada pemain untuk meningkatkan lagi skil dan kawalan bola.

“Kos pembinaan mencecah RM6 juta dan akan dibina di akademi bola sepak di Kulaijaya malah saya akan memastikan sebanyak lapan hingga sembilan padang akan siap terlebih dulu sebelum pusat latihan itu disiapkan,” kata Tunku Ismail.

Tunku Ismail berkata, kerjasama antara PBNJ dan BVB dianggap langkah terbaik dan ia bakal menjadi aset kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tatkala pemain muda Johor yang digilap daripada program pembangunan bukan saja menaikkan imej bola sepak Johor sebaliknya turut memberi sumbangan kepada pasukan bola sepak negara tidak lama lagi.

“Saya melihat sendiri program pembangunan bola sepak di peringkat akar umbi kelab berkenaan cukup tersusun dan profesional dan ia menjadi inspirasi kepada saya untuk mengadakannya di Johor,” kata Tunku Ismail.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mei 2015 @ 9:52 AM